PANTAI JEREJAK – Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Rodziah Abul Kassim berharap pengiktirafan Pulau Pinang sebagai ASEAN Clean Tourist City Standard (2022-2024) yang diterima baru-baru ini dapat meningkatkan lagi aspek kebersihan khususnya di kawasan pulau.
Justeru, pihak MBPP bersama-sama sembilan badan bukan kerajaan (NGO) menganjurkan ❤️PENANG Beach Clean Up di persisiran pantai Queensbay Mall sempena Hari Kebangsaan Ke-65 semalam.
“Saya pilih lokasi ini sebab sebelum ini bila datang ke sini saya tengok banyak sampah, ini tempat tumpuan jadi kita wajar beri pendidikan melalui aktiviti mengutip sampah sebagai teladan kepada orang ramai.
“Apa yang dikesalkan adalah kita (MBPP) sudah sediakan tong sampah di setiap 100 meter tetapi masih ada sampah dibuang merata-rata, tanggungjawab kebersihan ini bukan kepada majlis semata-mata, tetapi warga Pulau Pinang juga.
“Sayang kalau tempat ini dikotorkan kerana di sini ada pemandangan indah seperti laut, laluan beriadah dan pembangunan baharu yang cantik,” ujar beliau ketika bercakap kepada Buletin Mutiara semalam.
Dianggarkan lebih 110 orang perserta mendaftar bagi program pembersihan tersebut.
Turut hadir, Datuk Bandar bagi MBPP, Dato’ Ar. Yew Tung Seang dan wakil-wakil Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Jerejak.
Teks & Gambar : WATAWA NATAF ZULKIFLI