BAGAN JERMAL – Pelan tindakan kecemasan (Pelan A) membabitkan kerja-kerja mengapit semula (re-clamping) bahagian paip pecah di dasar Sungai Perai dijangka siap pada petang ini.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa ketika ini, kerja-kerja mengapit semula bahagian atas paip sepanjang 1,350 milimeter (mm) telah siap dijalankan.
“Walau bagaimanapun, kerja mengapit semula bahagian bawah paip yang bocor tidak dapat dijalankan pada malam tadi disebabkan berlakunya fenomena air pasang dan surut.
“Namun begitu, keadaan air sungai pada hari ini dilihat dalam keadaan baik dan membolehkan kerja mengapit semula bahagian paip bocor dimulakan dan dijangka siap pada petang ini juga.
“Sekiranya berjalan lancar, bekalan air kepada 84 peratus daripada 120,000 pengguna yang terkesan terutama di bahagian Barat Daya dan sebahagian Timur Laut dapat disalurkan semula seawal pagi esok (26 Januari).
“Sementara itu, proses pemulihan bekalan air kepada 16 peratus pengguna lagi terutamanya yang berada di kawasan penghujung saluran paip akan bermula pagi Sabtu (27 Januari),” katanya pada sidang media ketika mengadakan lawatan ke tapak projek pembaikan semula paip bocor di sini sebentar tadi.
Turut hadir, Exco Pengangkutan, Infrastruktur dan Digital, Zairil Khir Johari; Exco Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Ir. K. Pathmanathan serta Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri, Lau Keng Ee.
Kon Yeow memberitahu bahawa Pelan A merupakan penyelesaian sementara bagi membolehkan pengguna yang terjejas menerima semula bekalan air, dan pada masa sama memberi peluang kepada pengguna untuk menyimpan bekalan air secukupnya.
Mengulas mengenai Pelan B pula, Kon Yeow memberitahu bahawa kerja-kerja pemasangan dua paip lencongan 600mm merentasi Sungai Perai di bahagian permukaan sungai kini siap 70 peratus.
“Satu daripada dua paip berkenaan telah berjaya dipasang berdekatan jambatan Ampang Jajar, dan kita jangkakan kerja-kerja pemasangan kedua-dua paip lencongan akan siap pada 27 Januari (Sabtu) ini berbanding jangkaan awal, 29 Januari 2024.
“Dijangkakan, kerja-kerja penyambungan paip baharu memerlukan masa 16 jam dan pada 30 Januari 2024, bekalan air akan dipulihkan mengikut jadual kepada pengguna.
“Maklumat lanjut mengenai pemulihan bekalan air akan dikemas kini oleh PBAPP dari semasa ke semasa,” katanya.
Dalam pada itu, Kon Yeow memberitahu bahawa lori-lori tangki air akan terus digerakkan ke kawasan-kawasan terjejas sebagaimana yang dilaksanakan sebelum ini.
Terdahulu, PBAPP melalui kenyataan media memaklumkan bahawa Pelan A membabitkan kerja-kerja mengepit semula kebocoran lubang seluas 1.05 x 0.65 meter pada bahagian saluran paip 1,350mm di dasar Sungai Perai.
Pelan B pula membabitkan pemasangan dua paip baharu berukuran 600mm bagi menggantikan paip sedia ada.
Kedua-dua Pelan A dan Pelan B kini sedang dilaksanakan serentak di tapak dekat Sungai Perai.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI