Kebun komuniti jana sumber kewangan MPKK

SERI DELIMA – Kebun komuniti yang diusahakan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Island Park adalah amat istimewa iaitu merangkumi sistem hidroponik dan aquaponik menerusi pemeliharaan ikan serta kitaran sisa buangan yang digunakan sebagai baja.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, Syerleena Abdul Rashid berkata, dengan ruang yang amat minimum, usaha pihak MPKK Island Park memperlihatkan kejayaan yang memberangsangkan.

“Melalui projek yang diusahakan sejak November (2020) berserta kos RM19,800, sebanyak 500 tanaman sayur-sayuran mampu dituai yang secara tidak langsung mampu menjana sumber kewangan pihak MPKK,” ujarnya ketika mengadakan lawatan khas dekat Lintang Mas di sini 19 Disember 2020.

Hadir sama, Ahli Parlimen Jelutong, R.S.N. Rayer, Penghulu bagi kawasan Bukit Gelugor, Nasrizal Nasib dan Pengerusi MPKK Island Park, Dr. Tan Seang Aun.

Syerleena dalam pada itu merakamkan ucapan penghargaan kepada Jabatan Pertanian Pulau Pinang yang menyumbang polybag, saliran perpaipan dengan kerjasama pihak swasta dalam menjayakan projek hidroponik MPKK Island Park berkenaan.

Pada kesempatan sama, Syerleena turut meluangkan masa melawat mural baharu yang memaparkan keharmonian bermasyarakat di Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Seri Delima bersama artisnya, Azmi Hussin.

 

Teks & Gambar : WATAWA NATAF ZULKIFLI