Kebun Komuniti MPKK Sungai Emas hasil tangan tiga sekawan dinikmati semua

SIAPA sangka pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang banyak memberi kesan ekonomi kepada rakyat telah membuka lembaran baru bagi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Sungai Emas, Batu Feringghi.

Ekoran terlalu banyak masa terluang sejak pelaksanaan PKP pada 20 Mac 2020, Pengerusniya, CHENG TEK SAN mengambil keputusan mengusahakan sebidang tanah
terbiar seluas hampir satu ekar bagi membangunkan sebuah kebun komuniti.

Atas usaha tersebut, wartawan Buletin Mutiara, WATAWA NATAF ZULKIFLI dan jurugambar, DARWINA MOHD. DAUD sempat menemuramah Tek San dan Ahli Jawatankuasa MPKK Sungai Emas, TAN YONG BEE mengenai kebun komuniti yang diusahakan tersebut.


Menurut Yong Bee, kebun komuniti berhampiran pejabat MPKK Sungai Emas mula diusahakan sejak 2017 apabila mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bunga, Teh Yee Cheu menyumbangkan 100 anak benih lemon.

“Dahulu, kawasan ini dipenuhi semak-samun dan binatang berbisa seperti ular dan lain-lain haiwan, tetapi selepas mendapat kebenaran daripada kerajaan, kami usahakan tanah ini untuk membangunkan sebuah kebun komuniti.

“Namun pada masa itu, kami tidak dapat memberikan tumpuan sepenuhnya kerana masing-masing sibuk dengan rutin hatian, namun dalam tempoh dua tahun ini, lebih banyak tumpuan diberikan kepada aktiviti pertanian sepenuhnya.

“Lagipun sekarang kebanyakan daripada kami sudah bersara, justeru lebih mudah untuk tumpukan kepada kebun ini,” ujarnya sambil menyatakan bahawa pembangunan kebun komuniti tersebut dimulakan dengan menanam buah lemon.

Lebih menarik adalah kebun komuniti itu turut menggunakan baja organik yang dihasilkan sendiri di lokasi sama menggunakan tumbuhan mati serta sisa makanan.

“Kawalan serangga di sini juga menggunakan bahan-bahan organik terdiri daripada air rendaman kulit buah-buahan dan gula batu,” maklum Yong Bee.


Antara tanaman buah-buahan yang turut diusahakan adalah anggur, durian belanda, mangga, betik, limau, nangka dan pelbagai lagi.

Tanaman sayur-sayuran seperti serai, ulam-ulaman, cili padi, timun, sawi, bendi serta lain-lain jenis tanaman unik yang mungkin belum pernah didengari sebelum ini.

Berbicara lebih lanjut, Tek San menyatakan bahawa antara keunikan lain sayur-sayuran di kebun komuniti yang dibangunkan mereka adalah semua tanaman disiram menggunakan air bukit yang diperoleh melalui penyambungan paip hingga ke anak sungai berhampiran.


“Beza air bukit dengan air biasa seperti yang diperkatakan ramai adalah sayur yang disiram menggunakan air bukit adalah lebih rapuh, rangup dan sedap .

“Cuma cabarannya adalah kadang-kadang kita perlu naik sampai ke atas (bukit) untuk mencuci pasir yang tersekat di bahagian atas sebelum bergerak ke bawah…
maklumlah kami bukan profesional dalam bidang ini,” ujarnya yang juga merupakan seorang pesara.

Tambahnya, beliau dan Yong Bee serta seorang lagi rakan akan menghabiskan masa kira- kira dua jam setiap hari untuk menjaga kebun berkenaan.

“Kebanyakan masa kami dihabiskan untuk melakukan kerja-kerja menyiram, membersih dan memangkas daun serta dahan mati.


“Apa yang menyeronokkan adalah apabila kebun ini mula membuahkan hasil dan diagihkan kepada komuniti setempat…mereka seronok, kami pun puas dengan kerja-
kerja yang kami lakukan setiap hari.

“Malah, baru-baru ini kami turut menyertai beberapa pertandingan kebun komuniti pada peringkat kebangsaan,” kata Tek San.

Difahamkan, selain kebun komuniti, MPKK Sungai Mas turut menjalankan program seakan-akan foodbank untuk mendermakan hasil kebun tersebut kepada golongan yang memerlukan.

Ditanya mengenai harapan, Tek San dan Yong Bee berharap agar pihak berwajib seperti Jabatan Pertanian Negeri Pulau Pinang dapat membantu mereka daripada segi sumber asas.

“Kebun komuniti bersaiz kecil tidak memerlukan bajet yang tinggi, tetapi sekiranya Jabatan Pertanian dapat menyalurkan bantuan seperti tanah hitam, baja dan sebagainya, ia amatlah membantu.

“Selain itu, kami perlukan juga mesin kompos untuk memproses daun-daun dan sisa pokok untuk dijadikan baja kompos.

“Dalam memudahkan proses penyiraman, kami turut bercadang menyiapkan sistem perpaipan yang mana ia (proses penyiraman) dapat dilakukan secara automatik supaya menjimatkan masa,” ulasnya.