Kedai buku Popular Komtar bakal ditutup, pelanggan luah rasa sedih

GEORGE TOWN – Rangkaian kedai buku ternama tempatan Popular bakal menutup cawangannya di Komtar pada penghujung bulan ini, selepas beroperasi selama 30 tahun.

Difahamkan, Popular Komtar merupakan cawangan pertama syarikat milik Popular Holdings itu di Pulau Pinang yang dibuka pada tahun 1991.

Popular pernah beralih keluar dari Komtar pada 2004, tetapi berpindah semula ke bangunan itu pada tahun 2010.

Ekoran daripada itu, rata-rata pelanggan setia rangkaian kedai buku itu ketika ditemui Buletin Mutiara meluahkan rasa sedih dan kesal terhadap keputusan tersebut.

Megat Muhamad Zulhilmi.

MEGAT MUHAMAD ZULHILMI, 32, memberitahu bahawa cawangan Popular di Komtar menyediakan lebih banyak pilihan sama ada dari segi bahan bacaan mahupun alat tulis berbanding kedai buku yang lain di negeri ini.

“Saya memang selalu datang ke sini bersama-sama keluarga untuk mendapatkan bahan bacaan dan peralatan sekolah anak-anak kerana di sini terdapat banyak pilihan, malah boleh dikatakan sangat lengkap.

“Tambahan pula, saya sudah bekerja di bangunan Komtar sudah sembilan tahun, jadi Popular memang menjadi pilihan utama sekiranya saya mahu membeli perlatan untuk keperluan kerja.

“Jadi, apabila mendengar bahawa Popular Komtar akan ditutup sudah pastilah saya berasa agak sedih,” katanya yang gemar menelaah buku-buku berkaitan keagamaan dan motivasi ketika ditemui pagi tadi.

Kenny Teng Khoon Hock.

Menurut KENNY TENG KHOON HOCK, 35, pula, beliau menjadi pengunjung setia kedai buku Popular Komtar sejak di bangku sekolah menengah lagi.

“Ketika sedang menunggu bas di Stesen Bas Komtar, saya selalu menghabiskan masa di Popular untuk meneliti bahan bacaan yang ada.

“(Dan) sekarang tempat bekerja saya juga dekat dengan Komtar, jadi saya memang selalu datang ke sini untuk membeli keperluan seperti alat tulis, cakera padat (CD), aksesori telefon bimbit atau permainan untuk anak-anak,” ujarnya.

Khoon Hock berkata, susunan buku-buku dan artikel yang teratur serta mengikut kategori di Popular sangat memudahkan urusan pelanggan, dan ia dilihat menjadi faktor kedai buku tersebut menjadi pilihan ramai.

“Popular adalah tempat yang penuh dengan kenangan. Tambahan pula, Popular merupakan satu-satunya kedai buku yang mempunyai rangkaian lengkap di pusat bandar Georgetown.

“Selepas ia ditutup nanti, mungkin kita perlu ke pusat beli-belah lain untuk mencari bahan bacaan dan alat tulis yang diperlukan,” katanya lagi.

Azirah Ahmad Hashim.

Sementara itu, AZIRAH AHMAD HASHIM, 27, memberitahu bahawa beliau mengunjungi kedai buku Popular hampir setiap hari untuk mendapatkan peralatan yang diperlukan semasa bekerja.

“Saya juga merupakan pelajar separuh masa di universiti swasta, jadi memang saya selalu akan datang ke Popular untuk mencari buku-buku rujukan dan alat tulis.

“Sebab itulah, saya rasa agak sedih apabila diberitahu Popular Komtar akan ditutup kerana akan menyukarkan saya untuk mendapatkan barangan keperluan selepas ini,” luahnya yang bekerja di Jabatan Akauntan Negara Malaysia Negeri Pulau Pinang.

J. Lallitha Mayam.

Bagi J. LALLITHA MAYAM, 27, ketersediaan pelbagai jenis bahan bacaan dan alat tulis menjadi faktor utama beliau gemar mengunjungi kedai buku Popular di Komtar.

“Apabila habis waktu bekerja atau ada kelapangan waktu saya selalu datang ke sini (Popular) untuk mendapatkan pelbagai keperluan seperti buku, alat tulis, kertas A4, peranti komputer dan sebagainya.

“Apa yang paling istimewa tentang Popular Komtar adalah ia lengkap, dan lokasinya yang terletak agak dekat dengan tempat saya bekerja.

“Semua bahan bacaan yang saya gemari seperti buku motivasi, kesihatan, masakan dan kepimpinan boleh didapati di sini.

“Jadi, saya agak kecewa apabila kedai buku ini akan ditutup kerana selepas ini mungkin sukar untuk saya untuk membeli buku-buku dan alat tulis selepas ini,” katanya yang bekerja sebagai Pegawai Khidmat Pelanggan dekat Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang sejak lima tahun lalu.

Selain Komtar, terdapat lima lagi cawangan Popular di Pulau Pinang iaitu di Aeon Mall Bukit Mertajam, Sunway Carnival Mall, Lotus’s Penang, Gurney Plaza dan Queensbay Mall.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD