Kedai makan tepi bendang tumpuan pengunjung amati pemandangan matahari terbenam

Admin
img 0502

UMUMNYA masyarakat di Malaysia amat menggemari juadah nasi lemak dek menjadi makanan ruji orang Melayu yang turut digemari kaum Cina dan India tidak kira sambil dinikmati di rumah, kedai makan mahupun yang dijual secara bungkus di tepi jalan.

Kedai Nasi Lemak Ayam Berempah Abe tidak terkecuali dari menghidangkan juadah istimewa ini, ditambah pula dengan pemandangan matahari terbenam sewaktu senja menjadikan momen di lokasi tersebut ‘mahal’.

img 0507
MUHAMMAD Safuwan.

Pemiliknya, MUHAMMAD SAFUWAN ABU BAKAR, 36, dan rakan kongsi, WAN MOHD. RIDUAN WAN SAHAK, 34, berkesempatan berkongsi latar belakang perniagaan mereka dalam satu sesi wawancara khas bersama-sama wartawan Buletin Mutiara, NUR ASHIKIN ISMAIL dan jurugambar NOOR SITI NABILAH NOORAZIS baru-baru ini.

Bercerita mengenai detik mula meniaga, Muhammad Safuwan dahulunya merupakan seorang penjawat awam selama empat tahun, kemudiannya mencebur bidang perniagaan bersama rakan kongsi yang merupakan sepupunya.

“Saya dan sepupu mula berniaga sekitar tahun 2017 dan pada ketika itu tiada lagi kedai fizikal, hanya mampu berniaga di tepi jalan dekat Taman Desa Murni, Sungai Dua pada awalnya.

“Walaupun berniaga di tepi jalan, saya dan staf tetap menjaga kualiti dan keterjaminan makanan, kerana ada terdapat sesetengah masyarakat meletakkan stigma makanan dijual tepi jalan tidak dijamin bersih.

“Buktinya, ramai pelanggan yang konsisten mengunjungi gerai dan syukur alhamdulilah tiada pula yang melaporkan sebarang keracunan atau apa-apa yang kurang baik,” ujarnya yang merupakan graduan jurusan reka bentuk dalaman.

Mengulas lanjut, Muhammad Safuwan berkongsi beliau kemudiannya membuka kedai fizikal di hadapan rumah yang turut mempunyai pemandangan sawah padi di sekitarnya.

“Tidak lama kemudian, saya dan sepupu bersepakat untuk berniaga di hadapan rumah, cuma pada awalnya keadaan hiasan dalaman tidak begitu selesa seperti sekarang.

img 0504

img 0511
RUANG makan di dalam dan tepi sawah padi Nasi Lemak Ayam Berempah Abe.

“Setiap kali memperoleh keuntungan, saya akan menambah baik beberapa elemen di kedai sekadar yang mampu demi keselesaan para pelanggan.

“Untuk menu pula, pada awal saya mengamalkan konsep ‘mencedok’ atau menyenduk aneka lauk untuk nasi lemak, kini saya telah sediakan menu yang lebih rapi untuk pelanggan membuat pesanan.

“Tidak dinafikan sewaktu berlakunya pandemik COVID-19, perniagaan agak terjejas juga, tetapi kami tetap meneruskan perniagaan menggunakan kaedah Tunai Semasa Penyerahan (COD) dan pelanggan tidak boleh makan di premis,” jelasnya lagi.

Bagi Wan Mohd. Riduan, nasi lemak ayam berempah merupakan resipi aslinya, oleh yang demikian itu kedai berkenaan dinamakan sempena nama panggilannya iaitu Abe.

“Saya dan Muhammad Safuwan memilih nasi lemak kerana tahu ia merupakan juadah kegemaran ramai, dan rata-rata juga gemar untuk makan tidak kira pada waktu pagi atau malam, nak lebih menarik boleh makan sekitar waktu senja sambil melihat matahari terbenam.

“Apabila dinamakan pula dengan gelaran Abe, lebih senang untuk pelanggan mencari dan mengingati kedai ini, secara tidak langsung mereka dapat mempromosi dari mulut ke mulut.

“Kini, kakitangan secara keseluruhan seramai 14 orang, saya dan sepupu amat bersyukur dengan tenaga kerja seramai ini kami berupaya mengeluarkan produk sejuk beku sendiri dan jika tiada aral, sudah tentu produk sejuk beku ini ingin dipasarkan ke pasar raya yang berdekatan.

img 0515

img 0510
NASI Lemak Ayam Berempah Abe antara menu ‘signature’ pelanggan.

“Di samping menu sotong selambak yang laris, pelanggan juga boleh menikmati juadah lain seperti lontong, mee kari, makanan Barat, aneka sarapan pagi dan juga minuman istimewa,” katanya yang mengendali bahagian masakan sepenuhnya.

Menutup sesi wawancara, Muhammad Safuwan percaya perjalanan perniagaannya bersama sepupu penuh cabaran, namun dek semangat tekad yang kuat mereka berjaya hingga ke tahap ini.

“Sudah tentu saya mempunyai visi yang besar untuk mengembangkan perniagaan ini, jika tiada aral saya ingin menambah baik kawasan sekitar sawah padi ini, mungkin menyediakan ruangan makan dilengkapi penyaman udara dan juga papan tanda besar menerangi ruang langit.

“Selain itu, ekoran kawasan Batu Kawan bakal menjadi pembangunan yang pesat dek dipenuhi kawasan perindustrian, saya mungkin akan membuka sebuah lagi cawangan di sana dan juga di serata negeri yang lain.

“Dari segi pengurusan dan pemasaran pula, saya tidak akan henti memperbaiki dari semua aspek, saya dah pernah susah berniaga di tepi jalan, lantaran itu kebajikan kakitangan dan perniagaan pastinya dijaga dengan baik,” kongsinya mengakhiri sesi wawancara.