MACHANG BUBUK – Kedai Makanan Pokok Buluh dekat Bukit Mertajam dipilih sebagai premis makanan pertama di negeri ini yang menerima Anugerah Kedai Makan Harga Patut bagi Daerah Seberang Perai Tengah (SPT).
Anugerah tersebut disampaikan oleh Exco Perdagangan dan Pembangunan Keusahawanan & Luar Bandar, Dato’ Rashidi Zinol di sini pagi tadi.
Bercakap kepada Buletin Mutiara, Rashidi berkata bahawa penganugerahan tersebut diberikan berdasarkan penilaian harga jualan makanan yang ditawarkan adalah berpatutan dan mampu dibeli oleh masyarakat setempat.
“Bukan itu sahaja, kedai ini juga dipilih kerana mendapat sokongan daripada masyarakat setempat, Pejabat Daerah Seberang Perai Tengah, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
“Bagi kerja-kerja penilaian pula, kita serahkan kepada Pejabat Daerah terutamanya penghulu dan kemudiannya serahkan pula kepada KPDKK.
“Paling penting adalah mana-mana kedai yang ingin mendapatkan anugerah ini mestilah mendaftarkan lesen dengan MBSP dan hanya premis yang mendapat penialain A serta B dalam aspek kebersihan sahaja yang akan dipilih,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Acheh.
Turut hadir, Pengarah KPDN Pulau Pinang, S. Jegan; Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran MBSP, Nor Azly Ramli yang mewakili Datuk Bandar; Yang Dipertua (YDP) Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Negeri Pulau Pinang merangkap Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Malaysia, Dato’ Zainal Abidin Abdul Majid serta wakil komuniti setempat.
Rashidi berkata, penyampaian anugerah tersebut merupakan yang pertama dan akan diperluaskan kepada kelima-lima daerah di negeri ini pada masa akan datang.
“Kita (Kerajaan Negeri) berharap agar anugerah ini akan menjadi program rutin setiap dua bulan sekali, tambahan pula ia mendapat sokongan penuh daripada Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow dan barisan Exco.
“Bagi pihak Kerajaan Negeri, kita berterima kasih kerana sekurang-kurangnya ada kedai yang boleh membantu masyarakat dengan menawarkan makanan pada harga yang berpatutan.
“Mudah-mudahan amalan murni ini menjadi ikutan oleh semua pemilik premis makanan di setiap daerah dengan menawarkan harga yang berpatutan kepada rakyat.
“Saya juga ingin berterima kasih kepada KPDN, MBSP dan Pejabat Daerah SPT kerana menyokong program pada hari ini,” ujarnya.
Beliau berkata, demi mengelakkan rasa tidak puas hati dalam kalangan pemilik premis makanan, pihaknya akan mewujudkan satu laman web khas berkaitan program teraebut.
“Selepas ini, peniaga-peniaga kedai makanan boleh berdaftar untuk mendapatkan anugerah ini dan langkah ini juga adalah untuk mengelakkan rasa tidak puas hati terhadap proses pemilihan yang dilakukan,” katanya.
Buletin Mutiara turut berkesempatan menemu bual pemilik Kedai Makanan Pokok Buluh, Ruziah Zainal Abidin, 55, untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai perniagaan yang diusahakan.

Ruziah berkata, Kedai Makanan Pokok Buluh telah beroperasi lebih 32 tahun dengan menawarkan pelbagai juadah istimewa dengan harga yang berpatutan.
Beliau berkata, harga makanan yang ditawarkan adalah antara RM2 hingga RM8 mengikut juadah yang dipilih oleh pelanggan.
“Kami sediakan kira-kira 40 menu setiap hari tetapi yang paling istimewa di sini adalah kari kepala ikan dan ikan bakar.
“Harga yang kami tawarkan adalah berpatutan kerana kebanyakan pelanggan adalah penduduk setempat, jadi kami mahu makanan yang dijual boleh dibeli oleh semua orang,” katanya.
Seiring dengan cabaran ekonomi semasa terutamanya kebaikan bahan mentah seperti ayam, ikan, daging dan sayuran-sayuran, Ruziah berkata adakalanya beliau terpaksan juga menaikkan harga makanan bagi mengelakkan kwrugian.
“Kita juga pernah naikkan harga tetapi hanya beberapa kupang (sen) sahaja bagi menampung harga bahan mentah yang semakin meningkat saban tahun.
“Namun begitu, sekiranya harga bahan mentah menurun, kami juga akan turunkan harga makanan mengikut kesesuaian semasa,” jelasnya sambil menambah bahawa bahan mentah yang diperolehi kebanyakan adalah dari Pasar Awam Bukit Mertajam
Jelasnya, sehingga kini beliau telah menggajikan seramai 10 orang pekeeja termasuk lapan anggota keluarganya sendiri.
“Perniagaan ini pada asalnya milik keluarga suami dan selepas berkahwin, kami telah mengambil alih perniagaan ini sepenuhnya.
“Selepas suami saya, Anuar Mat Yusof meninggal dunia pada tahun 2019, tugas memasak yang sebelum ini dilakukan oleh arwah kini diambil oleh anak lelaki kedua saya, Muhammad Taufiq Anuar,” ujarnya.
Menyentuh mengenai anugerah yang diterima, Ruziah berkata beliau sangat terharu dengan penghargaan yang telah diberikan oleh Kerajaan Negeri.
“Terima kasih juga kepada YB (Yang Berhormat) Rashidi Zinol dan semua pihak yang telah memilih Kedai Makanan Pokok Buluh sebagai penerima anugerah ini.
“Anugerah ini pastinya akan membuatkan kami lebih bersemangat untuk meneruskan perniagaan dengan menawarkan harga yang berpatutan kepada pelanggan,” katanya mengakhiri bicara.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR