BERAPIT – Kediaman terbiar di Blok F dekat Flat Taman Permata, di sini yang mencetuskan kacau ganggu perlu ditangani segera, saran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Berapit, Heng Lee Lee.
Katanya, rumah berkenaan yang terbiar sejak beberapa tahun lalu kini menjadi tempat pembuangan sampah sarap yang berisiko menjadi lokasi pembiakan nyamuk Aedes.
“Blok F merupakan asrama yang dibeli oleh sebuah syarikat swasta tetapi tidak dihuni sejak beberapa tahun lalu yang mana keadaan unit kediaman ini sangat teruk seperti bumbungnya rosak selain menjadi tempat pembuangan sampah.
“Apabila berlaku hujan lebat air hujan akan terperangkap di dalam timbunan sampah sarap dan akan menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes.
“Oleh itu, gotong-royong secara besar-besaran yang dijalankan ini bukan sahaja untuk membersihkan kawasan taman malah kita juga mahu beri notis yang dikeluarkan oleh Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) atas sebab kacau ganggu kepada pemilik kediaman terbabit,” katanya ketika ditemui.
Selain itu, Lee Lee berkata, program gotong-royong membersihkan seluruh kawasan Taman Permata juga bertujuan untuk menghapuskan tempat pembiakan nyamuk Aedes memandang terdapat empat kes berkaitan denggi dilaporkan sebelum ini.
“Walaupun empat kes denggi yang dilaporkan sebelum ini bukan di kawasan flat tetapi kita mahu bersihkan seluruh kawasan agar wabak tersebut tidak merebak.
“(Dan) kelmarin juga saya sudah salurkan peruntukan bagi kawasan saya (KADUN Berapit) untuk membeli empat biji tong sampah besar yang berharga RM1,500 setiap satu bagi menggantikan tong sampah lama yang sudah terlalu uzur,” maklumnya lagi.
Difahamkan, aktiviti gotong-royong terbabit adalah anjuran Pusat Khidmat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Berapit bersama-sama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Taman Almas dan juga MPSP.
Teks & Gambar : SUNARTI YUSOFF