Kedua-dua Rancangan Tempatan Pulau Pinang akan diwarta awal tahun depan

Admin
f6d68a9b 82be 4e6b a3e9 c4436c6016a4 KETUA Menteri (tengah) seusai acara gimik perasmian merasmikan sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia 2024 Peringkat Negeri Pulau Pinang di sini pada 3 Oktober 2024.

BAGAN JERMAL – Draf Rancangan Tempatan Pulau Pinang (Pulau) 2030 (RTPPp 2030) dibuka untuk publisiti dan penyertaan awam pada hujung tahun ini, serta dijangka akan diwartakan serentak dengan Rancangan Tempatan Seberang Perai 2030 (RTSP 2030) pada awal 2025.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata demikian dalam sidang media berkaitan, seusai merasmikan Hari Perancangan Bandar Sedunia 2024 Peringkat Negeri Pulau Pinang di sini pada 3 Oktober 2024.

“Saya ingat Rancangan Tempatan Seberang Perai (yang disediakan oleh MBSP (Majlis Bandaraya Seberang Perai) telah siap, sementara Rancangan Tempatan Pulau Pinang (DRTPPp 2030) yang disediakan oleh MBPP (Majlis Bandaraya Pulau Pinang) akan dikemas kini semula selepas beberapa isu dibangkitkan berdasarkan Draf Rancangan Tempatan (RTPPp 2030) yang dipublisiti sebelum ini.

“Kedua-dua (Draf) Rancangan Tempatan tersebut masih dalam proses persediaan akhir sebelum diwartakan,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.

Manakala, Pengarah Jabatan Perancang Bandar dan Desa Negeri Pulau Pinang (PLANMalaysia Pulau Pinang), Dato’ TPr. Gs. Rozita Hamit memberitahu bahawa kedua-dua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berkenaan sendiri yang menyediakan Draf Rancangan Tempatan masing-masing.

“Untuk bahagian pulau, (Draf) Rancangan Tempatan disediakan oleh MBPP, tetapi kita (PLANMalaysia Pulau Pinang) akan memberi khidmat nasihat serta panduan ke arah penyediaan Rancangan Tempatan itu.

“Saya difahamkan (DRTPPp 2030) disiapkan pada hujung tahun ini juga untuk tujuan publisiti (dan penyertaan awam), akan diwartakan pada tahun depan (2025).

“Rancangan Tempatan Seberang Perai telah siap untuk semakan akhir untuk diwartakan pada awal tahun depan (2025),” ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau menyatakan bahawa selepas kedua-dua Rancangan Tempatan diwartakan, barulah akan dimuat naik secara dalam talian (Electronic Monitoring Structure Plan, eMOSPLab) untuk diakses oleh semua pihak termasuk orang awam dan pengamal media.

Sebelum itu, Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi melancarkan eMOSLan bagi melengkapkan Sistem Pemantauan Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang 2030 (RSNPP 2030), sempena sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia (HBBS) Peringkat Negeri di sini.

Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye yang juga ADUN Jawi turut berucap dalam majlis tersebut.

Selain Rozita, turut serta Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim; Exco Perumahan dan Alam Sekitar, Dato’ Seri S. Sundarajoo; Datuk Bandar MBPP, Dato Ir. A. Rajendran; dan Datuk Bandar MBSP, Dato’ Baderul Amin Abdul Hamid.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD
Video : SIEW CHIA EN