Kedudukan 4 Ahli Majlis PBT negeri diputuskan selepas kemelut politik peringkat Pusat diselesaikan – Jagdeep

Admin

DATUK KERAMAT – Kedudukan empat Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) negeri di bawah lantikan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) hanya akan ditentukan selepas landskap politik negara di peringkat nasional diputuskan.

Demikian respons yang diberikan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo ketika ditanya pemberita berhubung kedudukan empat Ahli Majlis PPBM di bawah Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) yang telah dilantik bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Disember 2020.

Sama seperti Kerajaan Negeri, Jagdeep sekali lagi mengulangi pendirian Ketua Menteri bahawa sebarang keputusan hanya akan ditentukan selepas kemelut politik di peringkat Pusat diputuskan.

“Y.A.B. Ketua Menteri telah menyatakan pendirian beliau bahawa sebarang keputusan dan kedudukan (peringkat negeri) hanya akan ditentukan selepas kemelut peringkat Pusat diselesaikan terlebih dahulu.

“Jadi, pendirian Ketua Menteri tersebut adalah merupakan pendirian keseluruhan bagi Kerajaan Negeri termasuklah kedudukan Ahli Majlis di kedua-dua PBT negeri,” ujarnya.

Sebagai rekod, terdapat empat Ahli Majlis yang masing-masingnya dua di bawah MBPP dan MBSP telah dilantik mewakili PPBM bagi penggal (1 Januari hingga 31 Disember 2020) kali ini.

Mengulas lanjut, Jagdeep yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat menjelaskan bahawa di peringkat negeri, keputusan juga tertakluk kepada Rang Undang-undang Enakmen Perlembagaan Negeri Pulau Pinang (Pindaan) 2012.

Jelasnya, Seksyen 14 enakmen berkenaan memperuntukkan ADUN atau calon yang mewakili sesebuah parti yang bertukar (parti) perlu mengosongkan kerusinya.

“Ketua Menteri telah merujuk kepada peruntukan perundangan ini, justeru pada saya, kini pelantikan mereka (Ahli Majlis PPBM) masih sah sehingga Kerajaan Negeri putuskan sebaliknya… dan setakat ini, belum ada sebarang keputusan dibuat,” ujarnya lanjut.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : ALISSALA THIAN