PADANG KOTA – Kedudukan kewangan wang tunai Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) terkini adalah sekitar RM485 juta berbanding RM378 juta pada penghujung tahun 2022.
Menurut Ahli Majlis MBPP, Ooh Sin Hwa, peningkatan tersebut adalah bersamaan 28 peratus.
“Ini merupakan peningkatan kasar sebanyak RM107 juta dan kiraan peningkatan peratusan adalah bersamaan 28 peratus dari angka asal pada penghujung tahun 2021.
“Saya ingin menyatakan bahawa ini bukan pencapaian perorangan tetapi satu pencapaian sejagat seluruh warga Majlis.
“Tidak boleh dilupakan adalah kakitangan Majlis dari Jabatan Perbendaharaan dan Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta, yang tidak kenal letih dan lesu dalam memastikan pentadbiran kewangan sentaisa cekap dan mantap,” ujar Sin Hwa pada Ucapan Penangguhan Mesyuarat Biasa Majlis Bilangan 12 Tahun 2022 di Dewan Bandaraya MBPP di sini pagi tadi.
Hadir sama, Datuk Bandar bagi MBPP, Dato’ Ar. Yew Tung Seang; Setiausaha Bandaraya MBPP, Dato’ Ir. A. Rajendran dan Ketua-ketua Jabatan MBPP.
Dalam satu sidang media MBPP kini merancang mewujudkan surau bergerak pertama di negeri ini menjelang awal tahun hadapan di astaka Padang Kota (berhampiran Fort Cornwallis) sebagai projek perintis.
Jelas Sim Hwa, surau bergerak bukanlah satu perkara yang baharu dan luar biasa malah ia pernah dilaksanakan di bandar raya lain.
“Oleh yang demikian saya mencadangkan supaya Jabatan Pengurusan Korporat dan Komuniti untuk mengadakan mesyuarat dengan Jabatan Mufti Negeri, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) dan Yayasan Islam Pulau Pinang (YIPP) selaku agensi pelaksana untuk berbincang dan mengkaji kebolehlaksanaan cadangan tersebut,” maklumnya lagi.
Ahli Majlis MBPP, Mohamed Yusoff Mohamed Noor, dalam pada itu menjangkakan projek tersebut akan direalisasikan tahun hadapan di astaka Padang Kota (berhampiran Fort Cornwallis).
“Terdapat satu surau bergerak di Unit Trafik MBPP berkonsepkan gazebo, kita telah mohon untuk di pasang di astaka Padang Kota.
“Kita juga akan buka sebut harga dan pemasangan dijangka dapat dilaksanakan tahun hadapan,” katanya lagi.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD