Kedudukan kewangan Pulau Pinang 2022 kukuh, terima Sijil Bersih Ketua Audit Negara

GEORGE TOWN – Kedudukan kewangan negeri Pulau Pinang adalah kekal kukuh berdasarkan Penyata Kewangan Kerajaan Negeri bagi tahun 2022 daripada Ketua Audit Negara.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow memberitahu bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga membuktikan kecekapan dalam urus tadbir kewangan negeri yang berlandaskan prinsip Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT) apabila sekali lagi menerima Sijil Bersih bagi tahun kewangan 2022.

“Dalam pembentangan Bajet 2022, dengan jangkaan hasil negeri sebanyak RM485.42 juga berbanding perbelanjaan mengurus berjumlah RM935.53 juta dengan jangkaan defisit sebanyak RM450.11.

“Anggaran defisit tersebut dibiayai daripada Simpanan Terkumpul Negeri yang berbaki RM689.72 juta pada akhir tahun 2022 dan jika dilihat dari segi defisit hasil berbanding belanja, Kerajaan Negeri mencatatkan peratusan melebihi 40 peratus,” katanya semasa berucap pada program Sesi Libat Urus Bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen bagi penyediaan bajet tahun 2023.

Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohamad Abdul Hamid; Timbalan Ketua Menteri II, Jagdeep Singh Deo; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Rosli Isa; Ahli-ahli Exco; barisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen; Pegawai Kewangan Negeri, Zabidah Safar serta ramai lagi.

Kon Yeow berkata, sehingga 30 September 2023, Kerajaan Negeri berjaya mengutip hasil berjumlah RM455.75 juta yang meliputi hasil bukan cukai berjumlah RM221.72 juta, hasil cukai (RM143.42 juta) dan terimaan bukan hasil (RM90.59 juta).

“Saya tidak nafikan bahawa defisit adalah tinggi namun Kerajaan Negeri optimis bahawa kutipan hasil akan dapat ditingkatkan semula dengan langkah-langkah pemulihan dan pemerkasaan ekonomi yang sedang diambil kira.

“Kerajaan Negeri juga percaya bahawa ekonomi negeri akan dapat ditingkatkan dengan pengurusan kewangan yang berhemah dan komitmen berterusan daripada semua pihak,” tegasnya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai sesi libat urus bagi penyediaan Bajet 2024, Kon Yeow memberitahu bahawa sehingga 9 Oktober lalu, sebanyak 81 cadangan projek dengan anggaran kos keseluruhan berjumlah RM908.72 juta diterima oleh Jabatan Kewangan Negeri daripada 14 ADUN dan Ahli Parlimen negeri ini.

“Cadangan projek-projek tersebut akan dinilai dan diberikan keutamaan pelaksanaan oleh Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) serta Jabatan Kewangan Negeri,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Kon Yeow menzahirkan keyakinan bahawa sesi libat urus yang dijalankan bakal menambah baik perancangan di setiap kawasan negeri ini secara mampan dan sejajar dengan strategi serta aspirasi Penang2030.

“Dengan meneruskan usaha untuk menyampaikan kecemerlangan, Kerajaan Negeri menjalankan pelbagai program dan projek yang memberi manfaat kepada rakyat serta fokus untuk mengekalkan disiplin fiskal, perbelanjaan operasi yang berhemah serta memelihara pelaburan.

“Walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran termasuk kadar inflasi yang tinggi namun prinsip serta nilai kerajaan kekal sama iaitu untuk membina kesetiaan, integriti, profesionalisme dan perpaduan dalam negeri,” ujarnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR