Kehadiran pelancong tidak jejas Bukit Bendera sebagai status UNESCO – Exco

GEORGE TOWN – Peningkatan kehadiran pengunjung ke Bukit Bendera kini tidak akan menjejaskan usaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk mendapatkan pengiktirafan Rizab Biosfera Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Exco Pelancongan, Seni, Budaya dan Warisan, Yeoh Soon Hin memaklumkan bahawa data yang dikumpul oleh Perbadanan Bukit Bendera (PHC) sehingga 17 Oktober 2019, jumlah kehadiran pengunjung ke Bukit Bendera tidak melebihi 1,500 orang pada satu masa.

“Jumlah kehadiran pengunjung (ke Bukit Bendera) dalam satu-satu masa tidak meningkat secara mendadak.

“Malah, melalui Rancangan Kawasan Khas Bukit Bendera, had kehadiran pengunjung yang dapat ditampung dalam satu-satu masa adalah seramai 4,800 orang,” respons semasa Sesi Soalan Lisan, Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Keempat Belas dekat Dewan Sri Pinang pagi ini.

Soon Hin yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Terubong memberi respons terhadap soalan tambahan ADUN Bukit Tambun, Goh Choon Aik.

Tambah Soon Hin, dalam mendapatkan pengiktirafan Rizab Biosfera UNESCO, PHC telah menentukan zon-zon yang jelas bagi memelihara dan memulihara alam semula jadi.

Terdahulu, Soon Hin memberitahu dewan bahawa sejumlah 1,380,851 pelancong dicatatkan telah mengunjungi Bukit Bendera sehingga Oktober tahun ini.

Daripada jumlah itu, katanya, seramai 874,949 orang merupakan pelancongan tempatan manakala 505,902 orang adalah pelancong asing.

“Kerajaan Negeri melalui PHC akan terus mempertingkatkan perkhidmatan dan keselesaan pengunjung bagi memastikan Bukit Bendera menjadi destinasi ekopelancongan terunggul di negara ini.

“PHC juga komited dalam memelihara dan memulihara warisan semula jadi Bukit Bendera bagi mengekalkan status tarikannya sebagai destinasi pelancongan utama bagi pelancong dari dalam dan luar negara,” ujarnya lagi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD