Kehadiran penyu lipas, ADUN harap pantai Gertak Sanggul jadi tarikan pelancongan baharu di Pulau Pinang

Admin
AZRUL Mahathir Aziz (kemeja merah, duduk) mendahului pelepasan penyu lipas di Pantai Pasir Belanda, Teluk Kumbar baru-baru ini.

BAYAN LEPAS – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz berharap Pantai Gertak Sanggul hingga ke Sungai Batu mampu menjadi tarikan baharu buat pelancong ekoran kehadiran penyu lipas yang bertelur di pantai terbabit baru-baru ini.

Menurut Azrul, penemuan 104 butir telur penyu lipas itu merupakan berita baik kepada sektor pelancongan negeri, tambahan pula spesies tersebut kini menghadapi ancaman kepupusan.

“Saya harap orang ramai yang terjumpa telur penyu di mana-mana pantai berhampiran bolehlah terus maklumkan kepada Jabatan Perikanan Malaysia (JPM) Pulau Pinang untuk tindakan lanjut… jangan sesekali mengambil telur-telur tersebut kerana ianya salah di sisi undang-undang.

“Akta Perikanan 1985 juga memperuntukkan bahawa kita (orang awam) tidak boleh mengusik penyu-penyu yang mendarat dan bertelur di pantai melainkan lapor kepada JPM untuk kelangsungan hidup haiwan berkenaan,” ujar Azrul dalam Majlis Pelepasan 70 Ekor Anak Penyu Lipas dekat Pantai Pasir Belanda, Teluk Kumbar, berhampiran sebuah restoran makanan laut baru-baru ini.

Hadir sama, ADUN Batu Lancang, Ong Ah Teong; Pengarah JPM Pulau Pinang, Noraisyah Abu Bakar dan Ketua Pangkalan Utama Cawangan Perlindungan Sumber Jabatan Perikanan Perak, Mansor Yobe yang berkepakaran dalam bidang penyu.

Program pelepasan yang jarang-jarang berlaku tersebut melibatkan sejumlah 70 ekor anak penyu lipas berusia seminggu dekat Pantai Pasir Belanda, Gertak Sanggul.

Difahamkan, telur-telur penyu tersebut dipercayai ditemui oleh pemilik restoran makanan laut, Tan Tatt Ghee, 45, pada 18 Mac lalu sebelum memaklumkan perkara itu kepada JPM Pulau Pinang.

Dalam pada itu, Noraisyah dalam sidang media menyatakan, pelepasan tersebut harus dilakukan dekat pantai yang sama telur-telur tersebut dijumpai agar 15 tahun akan datang, penyu-penyu berkenaan akan mendarat semula ke kawasan sama untuk bertelur.

“Kebarangkalian dia (penyu) akan kembali ke sini adalah besar, dan penyu lipas ini dikategorikan sebagai terancam, bermaksud sekiranya kita tidak pelihara ianya boleh pupus seperti mana yang berlaku di Rantau Abang, Terengganu di mana penyu belimbing sangat-sangat susah nak naik semula.

“Penyu lipas pun jarang, cuma beberapa kali sahaja dia naik ke sini, jadi kita serulah orang ramai maklumkan kepada JPM Pulau Pinang, dan setakat ini penyu lipas memang naik di Pulau Pinang sahaja.

“Jadi di Pulau Pinang, kita ada dua spesies utama iaitu penyu agar di Pantai Kerachut Teluk Bahang dan penyu lipas di Gertak Sanggul sehingga Sungai Batu,” ujarnya.

Menurut Noraisyah, kebiasaannya penyu mempunyai daya ingatan yang sangat kuat dan pihaknya berharap selepas 15 tahun atau lebih, penyu-penyu tersebut akan pulang semula ke sini untuk bertelur.

“Keadaan sekitar juga memainkan peranan dan memberi impak kepada kehadiran penyu. Ianya sensitif kepada cahaya berlebihan, suasana bising dan kalau ada gangguan penyu boleh berpatah balik dan tidak lagi bertelur di sini,” tegasnya.

Tatt Ghee ketika ditemui pihak media memberitahu pendaratan penyu lipas tersebut merupakan kali keempat dalam tempoh empat tahun dan ada diantaranya penyu tersebut telah menetas dengan sendirinya.

“Malam itu (18 Mac) saya dengar anjing menyalak bunyi yang lain, dari situ boleh agak dah memang ada penyu yang datang untuk bertelur macam tahun-tahun lepas dan biasanya memang akan maklumkan kepada JPM Pulau Pinang,” katanya.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : ADUN