Kehadiran TYT, Ketua Menteri tambah seri majlis iftar Liga Muslim Pulau Pinang

Admin
TUN Ahmad Fuzi Abdul Razak (depan, dua dari kiri) diiringi Ketua Menteri (depan, tiga dari kiri) saling menyantuni pemimpin tempatan sebelum Majlis Berbuka Puasa anjuran Liga Muslim Pulau Pinang di Masjid Kapitan Keling, George Town pada 5 April 2023.

GEORGE TOWN – Yang Dipertua Negeri (TYT), Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak sendiri perkenan untuk menyertai majlis bacaan Yasin dan tahlil di Masjid Kapitan Keling dekat Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi turut mengiringi Ahmad Fuzi dalam majlis berbuka puasa atau iftar anjuran pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Liga Muslim Pulau Pinang di sini pada 5 April 2023.

Hadir sama, Presiden Liga Muslim, Datuk Haja Najmudeen Kader serta Timbalan Presidennya, Datuk Dr. Shahul Hameed Syed Mohamed; Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG), Tan Sri Dr. Mohd. Yussof Latiff dan Pengerusi Masjid Kapitan Keling, Faruk Raja Mohamed.

Semasa berucap, Setiausaha Kehormat Liga Muslim Pulau Pinang, Datuk Mejar Mohamed Abdul Latiff Abu Tahir berkata bahawa kehadiran Tun (Ahmad Fuzi) dengan diiringi Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan pada petang ini menambahkan seri dwi acara berkaitan.

“Pada setiap tahun, dalam bulan Ramadan, akan diadakan majlis seumpama ini dengan kehadiran Tun (Ahmad Fuzi) dan diharap ia akan terus mengeratkan lagi perpaduan rakyat terutama dalam kalangan pemimpin Liga Muslim Pulau Pinang serta (pemimpin-pemimpin) setempat,” ujarnya lanjut.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR