Kejadian vandalisme Taman Upcycle, MPSP buat laporan polis

Admin

SEBERANG JAYA – Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) menzahirkan rasa kecewa terhadap perbuatan tidak bertanggungjawab oleh sesetengah pihak yang bertindak merosakkan beberapa kemudahan di Taman Upcycle di sini.

Yang di-Pertuanya, Dato’ Sr. Rozali Mohamud berkata, barangan yang diletakkan di taman tersebut sering kali menjadi mangsa vandalisme sehingga menyebabkan MPSP terpaksa menanggung kerugian.

“Antara yang sering berlaku adalah kehilangan dan kerosakan beberapa komponen motor upcycle, penyandar kerusi dan meja kayu lekang, tali bolard, komponen patung replika ‘minion’ serta itik gergasi.

“Bukan itu sahaja, perbuatan seumpama ini juga turut berlaku di beberapa lagi taman seperti di Taman Tunku, Anjung Bagan dan Taman Sejahtera,” jelasnya pada sidang media di Taman Upcycle bersebelahan menara MPSP di sini 4 Jun lalu.

Hadir sama, Setiausaha Perbandaran MPSP, Ir. Rosnani Mahmod, Pemangku Pengarah Kejuruteraan, Baderul Amin Abdul Hamid serta Ahli-ahli Majlis bagi MPSP.

Justeru, kata Rozali, satu laporan polis telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Bukit Mertajam pada 2 Jun lalu berhubung perkara itu.

“Perlakuan vandalisme ini merupakan satu kesalahan jenayah mengikut Undang- Undang Kecil Vandalisme (MPSP) 1993 di bawah perkara 3 (1) yang jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau penjara selama satu tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.

“Selain itu, MPSP juga bercadang untuk memperketatkan lagi kawalan di kawasan taman ini selain akan mempertimbangkan untuk memasang lampu bagi mengelakkan kejadian ini berulang.

“Oleh itu, para pengunjung diminta untuk sama-sama menjaga dan tidak merosakkan peralatan atau barangan upcycle yang diletakkan di taman ini supaya semua pihak dapat menikmati kemudahankemudahan yang kita sediakan ini,” serunya.

Sebagai rekod, Taman Upcycle merupakan taman pertama di Malaysia berkonsepkan upcycle yang bertujuan memberi pendidikan dan menggalakkan masyarakat untuk menjalankan aktiviti kitar semula dan upcycle.

Taman tersebut dirasmikan pada 10 Mac lalu oleh mantan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng yang memanfaatkan lebih 2,500 penduduk di kawasan sekitar.