GEORGE TOWN – Bukan hanya pencapaian terbaik namun persembahan dan prestasi E. Sasheladevi, 27, memecahkan Malaysian Book of Records (MBOR) bagi menarik kenderaan jarak jauh kategori wanita petang tadi disifatkan sesuatu yang amat membanggakan.
Kejayaan gadis yang kini berkhidmat di dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu mengkagumkan apabila beliau hanya menggunakan kekuatan satu jari telunjuk untuk menarik Toyota Alphard seberat 2.7 tan pada jarak 70.20 meter dalam tempoh 1 minit 25 saat.
Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee yang hadir menyaksikan rekod baharu tersebut dilakar sebentar tadi berkata, kecekalan Sasheladevi untuk meraih kejayaan demi kejayaan sewajarnya dipuji.
Katanya, kesungguhan tersebut seharusnya dipanjangkan dan wujud dalam setiap jati diri muda-mudi negeri.
“Ini adalah salah satu mesej positif yang harus dicontohi oleh semua golongan muda.
“Jangan sesekali berputus asa, hadapilah setiap cabaran dan tekanan dengan minda yang positif dan semangat juang tinggi.
“Di mana ada keinginan dan kemahuan, pasti ada kejayaan, tiada yang mustahil, kita boleh!,” seru beliau.
Hadir sama Pengarah Khidmat Kemasyarakatan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Rashidah Jalaludin, Presiden Persatuan Angkat Berat ATM, Kolonel Inderjit Singh, Timbalan Komander Rejimen 509 Askar Wataniah, Leftenan Kolenal Abdul Halim Majid dan wakil MBOR, Lee Pooi Leng.
Program tersebut dianjurkan Orient Fitness Penang bersama-sama Kelab Sukan Sosial dan Kebajikan ATM (KSSKA) dan disokong oleh Kerajaan Negeri serta MBPP.
Difahamkan, rekod itu bukan yang pertama dipecahkan Sasheladevi, apabila beliau pada sepuluh tahun sudah, 2008 juga pemegang rekod bagi angkat berat menggunakan dua jari (wanita) dengan mengangkat pemberat 41 kilogram (kg) dalam tempoh 4 saat.
Sasheladevi yang ditemui sejurus itu, melahirkan perasaan bercampur baur dan keterujaan beliau mencipta rekod kedua buat dirinya.
“Sangat gembira dan teruja. Diharap pada masa depan, saya dapat memecahkan rekod dunia, itu impian saya,” ujarnya sambil menyatakan bahawa beliau sememangnya meminati sukan angkat berat sejak berusia 14 tahun dan memperuntukkan kira-kira tiga bulan untuk berlatih.