Kejayaan tanam 1.2 juta pokok sehari simbol TYT cakna isu perubahan iklim, puji Ketua Menteri

Admin
0204dc84 3b0b 452f 9d99 98f2dd8d7ab3 KETUA Menteri iringi TYT dan isteri ke Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Timbalan Ketua Menteri II di Balai Rakyat Jalan Patani di sini pada 2 Mei 2024.

DATUK KERAMAT – Kejayaan program menanam kira-kira 1.2 juta pokok dalam sehari di sekitar Pulau Pinang pada 22 April lepas sempena menyambut Hari Bumi adalah cetusan idea dan simbol keprihatinan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak terhadap isu perubahan iklim sejagat termasuk di negeri ini.

ba136c6b 1f5c 4c5a bb71 5e829ae7ce8f
KETUA Menteri

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri yang dianjurkan oleh Timbalan Ketua Menteri II, Jagdeep Singh Deo di Balai Rakyat Jalan Patani di sini pada 2 Mei 2024.

“Terkini, untuk makluman YB Jagdeep dan hadirin, bukan satu juta pokok berjaya ditanam, tetapi 1.2 juta pokok juta berjaya ditanam bagi menyambut Hari Bumi (2024) dengan sokongan pelbagai pihak.

“Tun (Ahmad Fuzi) dan isteri, Toh Puan Khadijah Mohd. Nor sebagai pimpinan tertinggi negeri kita telah menunjukkan keprihatinan pada isu kebajikan dan perubahan iklim,” jelasnya yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.

Selain itu, Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Tanah dan Ekonomi dan Komunikasi turut memberitahu bahawa kini projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Pinang yang tertangguh sebelum ini telahpun dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan.

“RTB Sungai Pinang sudah secara rasminya mula dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan di sepanjang Sungai Pinang yang merangkumi KADUN (Kawasan Dewan Undangan Negeri) Sungai Pinang dan Datuk Keramat.

“Semoga masalah banjir yang selama ini dihadapi oleh penduduk di sini dapat ditangani dan diatasi dengan sebaiknya,” katanya lagi.

7bccb496 c967 400b b215 e3dc55bec2db
JAGDEEP Singh Deo

Berucap sebelum itu, Jagdeep berkata Kon Yeow sejak ditaklifkan sebagai Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan dan Tebatan Banjir pada tahun 2008 merupakan antara pemimpin negeri yang begitu komited dalam mengurangkan risiko banjir di lembangan Sungai Pinang termasuk Jalan P. Ramlee di sini.

Kata ADUN Datuk Keramat itu lagi, kini risiko banjir kurang dihadapi oleh penduduk setempat di sini kerana keberanian rakyat melakukan perubahan serta memberi mandat pentadbiran pada Kerajaan Negeri hari ini.

Datin Seri Utama Gurmit Kaur (ibu kepada Jagdeep); YABhg. Puan Tan Lean Kee (isteri kepada Ketua Menteri); ADUN Batu Uban, A. Kumaresan; dan Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ir. A. Rajendran merupakan antara yang hadir dalam majlis keramaian di sini tadi.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI
Video : ALISSALA THIAN