Kejohanan Bola Jaring Muda cungkil bakat baru golongan belia

Admin

BALIK PULAU – Sebanyak 20 pasukan mengambil bahagian dalam Kejohanan Bola Jaring Muda 2019 anjuran Persatuan Bola Jaring Pulau Pinang bersama-sama Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC).

Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee berkata, pertandingan tersebut dianjurkan bertujuan untuk memperkasakan penglibatan golongan belia dalam usaha mencungkil bakat-bakat baru khususnya dalam sukan bola jaring.

“Sukan amat penting dalam proses pembinaan negara bangsa selain dapat melahirkan masyarakat yang cergas, berdisiplin dan sentiasa berani menghadapi kehidupan.

“Masyarakat beginilah yang diperlukan negara dalam membangunkan Malaysia untuk meningkatkan daya pengeluaran negara ke tahap paling maksimum.

“Oleh itu, saya berharap agar kejohanan ini dapat menjadi satu platform untuk menarik lebih ramai pemain muda dan dapat mencungkil bakat baru yang mampu bersaing di peringkat negeri mahupun kebangsaan,” katanya ketika merasmikan kejohanan berkaitan dekat Kompleks Sukan Balik Pulau, di sini sebentar tadi.

Mengulas lanjut, Lip Chee menjelaskan bahawa aktiviti sukan juga dapat memupuk semangat perpaduan dan integrasi kaum khasnya melalui acara bola jaring.

“Justeru, saya berharap agar semua pasukan dapat bersaing secara sihat.

“Kalah atau menang tidak begitu penting kerana melalui sukan dan kejohanan sebegini dapat mengukuhkan lagi silaturahim serta hubungan baik antara semua pihak,” ujarnya sambil menzahirkan penghargaan pihak-pihak menjayakan kejohanan berkenaan.

Difahamkan, selain Persatuan Bola Jaring Pulau Pinang dan PYDC, kejohanan tersebut juga dijayakan bersama dengan Jabatan Pendidikan Negeri dan Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP).

Oleh: SITI HUMAIRA MOHAMED YASIN
Gambar: WONG SOOK SHYAN