JAWI – Kira-kira 100 individu pelbagai peringkat usia menyertai Kejohanan Catur Terbuka anjuran Pusat Khidmat ADUN Jawi semalam di C-Mart Nibong Tebal.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi, Jason H’ng Mooi Lye berkata, kejohanan tersebut mendapat sambutan amat menggalakkan membabitkan empat kategori iaitu kategori terbuka untuk pemain handal; kategori bawah 17 tahun; kategori 12 tahun dan kategori 9 tahun.
“Saya percaya permainan catur bukan sahaja untuk golongan tertentu malah boleh didedahkan kepada semua peringkat usia tidak kira lelaki mahupun perempuan.
“Di samping itu, saya melihat kejohanan ini juga mampu memupuk semangat kesukanan dan merapatkan hubungan sesama kita,” katanya yang juga Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa.
Mengambil kesempatan penganjuran kejohanan itu, beliau turut menyampaikan sumbangan buah kurma kepada masjid dan surau di sekitar kawasan Jawi sempena menyambut Ramadan tahun ini.
Ahli Majlis Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Heng Yeh Shiuan dan Ngoh Cheng Hai; Pegawai Kemajuan Perkampungan Baru, Ong Hoon Boon; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga (JPWK) Nibong Tebal, Arianty Ariffin; Pengerusi Jawatankuasa Belia Pulau Pinang (JBPP) Jawi, Tan Jian Jinn dan wakil Persatuan Catur Pulau Pinang antara yang hadir dalam kejohanan catur tersebut.
Teks & Gambar : NUR BATRISYIA IDRUS