PENAGA – Penganjuran julung kali Kejohanan Futsal Padang di kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Penaga memperlihatkan sambutan amat menggalakkan dengan penyertaan membabitkan 25 pasukan muda-mudi di sini.
Keadaan cuaca yang panas terik tidak sama sekali menghalang para penduduk Penaga berhimpun untuk mengeratkan ikatan silaturahim di Padang Awam Pasir Gebu sejak perlawanan dimulakan pada pukul 9 pagi dan hanya tamat tujuh jam kemudian.
Dalam pada itu, majlis turut dimeriahkan dengan kesudian Timbalan Ketua Menteri I, Y.B. Tuan Mansor Othman untuk melancarkan acara Kejohanan Futsal Padang anjuran Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung Negeri (JKKKN) Bakau Tua dengan kerjasama Pusat Khidmat KADUN Penaga berkenaan. Sebelum memulakan perlawanan, Mansor turut menyampaikan sijil penyertaan kepada para peserta sebagai galakan di dalam pembabitan aktiviti-aktiviti sukan secara berterusan oleh golongan generasi muda.
Pengerusi JKKKN Bakau Tua, Johari Zakaria berkata, ekoran sambutan menggalakkan, pihaknya bercadang menjadikan kejohanan tersebut sebagai acara tahunan bagi KADUN Penaga.
“Selain mengeratkan ikatan silaturahim sesama penduduk, kejohanan ini juga mampu mengasah bakat-bakat muda di dalam sukan futsal. Pada masa sama, ia juga mampu membendung pembabitan gejala sosial yang tidak sihat dalam kalangan muda-mudi,’’ katanya di sini baru-baru ini.
Sementara itu, hasil kegigihan pasukan Mesra FC telah melayakkan pasukan terbabit marangkul gelaran juara. Naib johan dimenangi oleh JKKK Lahar Kepar FC ; tempata ketiga, Sementara Aman FC dan tempat keempat, Bertam FC.
Majlis penyampaian hadiah berupa wang tunai dan medal telah disempurnakan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng pada majlis Perasmian Pusat Khidmat Penaga, Bertam dan Pinang Tunggal yang berlangsung pada sebelah petang hari yang sama.