Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF
GEORGE TOWN – Sempena perayaan Thaipusam yang disambut meriah oleh penganut Hindu baru-baru ini, Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng menyeru seluruh rakyat termasuk masyarakat India menyata dan mengandakan sokongan terhadap Kerajaan Negeri berkebajikan.
Beliau berkata, Thaipusam yang jatuh pada bulan ke sepuluh dalam kalender Hindu diraikan sebagai tanda kemenangan dan untuk membayar nazar atas kebaikan yang telah diperoleh.
“Wang bukanlah segalagalanya, sebaliknya maruah dan kehormatan adalah simbol kemuliaan yang utama untuk kita pertahankan. Semangat toleransi adalah asas kekuatan yang menjadikan kita hidup dalam suasana aman damai dengan kepelbagaian masyarakat majmuk yang ada.
Tambah beliau, diharap Pulau Pinang pada tahun 2015 akan menjadi negeri pertama yang dapat menghapuskan kemiskinan.
“Penting di Malaysia dan Pulau Pinang untuk menjadi sebuah negara kebajikan agar dapat membantu semua rakyat yang memerlukan terutamanya yang miskin. Kerana kita tidak mahu sesiapapun ketinggalan ke belakang, sebab itulah kita (Kerajaan Negeri) wujudkan pemberian kepada warga emas, pelajar emas dan anak emas” katanya dalam kenyataan di sini baru-baru ini.
Bersempena sambutan Hari Thaipusam, Ketua Menteri sambil ditemani Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy dan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri berketurunan Hindu telah mengadakan lawatan khas ke panthal-panthal yang ditempatkan di ‘Waterfall’ (lokasi utama berlangsungnya perarakan Thaipusam), Kebun Bunga di sini.
Selain penganut agama Hindu, perayaan Thaipusam juga menarik perhatian pelancong asing yang mengambil
kesempatan merasai sendiri pengalaman bersama kira-kira 200,000 penganut agama dari seluruh negara untuk melihat dengan lebih dekat tradisi memecahkan kelapa, mengangkat ‘kavadi’ bagi membayar nazar dan perarakan ‘rata’ atau pedati perak yang membawa berhala Dewa Murugan.