Kekal zon hijau, Kerajaan Negeri komited wujudkan makmal diagnostik di PIA

Admin

BAGI meningkatkan keupayaan melakukan ujian saringan COVID-19 di pintu-pintu masuk utama negeri, Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengambil langkah proaktif dengan membangunkan sebuah makmal diagnostik COVID-19 di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA).

 

Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Abdul Razak Jaafar ketika ditemui berkata, matlamat membangunkan makmal ujian sampel saringan dan pengesanan COVID-19 di PIA adalah bagi memastikan Pulau Pinang kekal sebagai zon hijau sekaligus membantu Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) meningkatkan kapasiti ujian saringan harian.

 

ABDUL Razak Jaafar ketika ditemui di pejabat beliau di sini baru-baru ini.

 

“Semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan, Kerajaan Persekutuan melalui Majlis Keselamatan Negara (MKN) hanya membenarkan satu pintu masuk antarabangsa dibuka iaitu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

 

“(Dan) apabila Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dilaksanakan, pintu-pintu masuk antarabangsa yang lain (di negeri-negeri) turut dibenarkan dibuka seperti di Pulau Pinang dan Kuching (Sarawak) dengan syarat (penumpang yang tiba) perlu menjalani ujian saringan.

 

“Oleh itu, kita (Kerajaan Negeri Pulau Pinang) mengambil tindakan segera dan proaktif dengan mengadakan perbincangan bersama-sama pihak pengurusan lapangan terbang, imigresen serta JKNPP untuk melihat bagaimana proses saringan ini dapat dipercepatkan.

 

“Hal ini bermakna, individu di bawah pengawasan (PUS) dapat segera dibenarkan pulang dan menjalani kuarantin selama 14 hari di rumah masing-masing tanpa perlu ke pusat kuarantin seperti sebelum ini,” ujarnya ketika ditemu bual secara eksklusif oleh Buletin Mutiara dekat pejabatnya di Komtar 26 Jun lalu

 

Menurut Abdul Razak, buat masa ini kapasiti pengambilan sampel di PIA adalah sebanyak 150 ujian saringan sehari berbanding sebelum ini hanya 70 ujian saringan sehari sebagaimana dilaporkan sebuah portal dalam talian berbahasa Inggeris pada 13 Jun lepas.

 

“Dari segi tempoh masa menunggu juga dapat disingkatkan bukan seperti sebelum ini mengambil masa dua hingga tiga jam yang mana sampel diambil perlu dihantar ke hospital atau klinik berkaitan untuk didiagnos (sampel) secara klinikal dan keputusan mengambil masa selama sejam. 

 

“Dari segi kapasiti anggota kesihatan, sememangnya sentiasa mencukupi cuma perlu ada sebuah makmal sementara di lapangan terbang bagi menjalankan diagnosis seperti cadangan pengubahsuaian dikemukakan JKNPP kepada Kerajaan Negeri,” jelasnya yang turut memuji komitmen pimpinan tertinggi Kerajaan Negeri dalam menjaga keselamatan serta kesihatan rakyat di Pulau Pinang.

 

ABDUL Razak Jaafar menunjukkan pelan pembangunan makmal diagnostik COVID-19 di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.

 

Tambah beliau, dari segi keperluan peralatan, komponen terpenting yang perlu ada di makmal diagnostik tersebut adalah kabinet keselamatan biologi.

 

“Kabinet keselamatan biologi ini penting untuk menjalankan ujian ke atas sampel yang diambil. 

 

“Satu lagi komponen yang perlu adalah kebuk khas saringan (bagi pengambilan sampel) dan kesemua ini (termasuk penyediaan komponen peralatan serta ubah suai) dianggarkan menelan kos sebanyak RM174,100 yang ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang,” katanya.

 

Ditanya mengenai status kerja-kerja membangunkan makmal diagnostik COVID-19 itu, Abdul Razak memaklumkan bahawa ia giat dilaksanakan kini. 

 

Kita (Kerajaan Negeri) menjangkakan dalam tempoh dua minggu atau pertengahan bulan Julai 2020, makmal tersebut akan siap dan sedia untuk beroperasi di PIA. 

 

“(Dan) dengan adanya makmal ini, mungkin pada masa hadapan kapasiti ujian saringan dapat ditingkatkan dua kali ganda bagi membolehkan lebih ramai lagi rakyat Malaysia khasnya Pulau Pinang untuk kembali ke tanah air,” responnya. 

 

Sebagai rekod, maklum Abdul Razak, kapasiti penumpang warganegara Malaysia yang tiba di PIA sehingga kini tidak melebihi kapasiti ujian saringan sehari iaitu antara 60 hingga 90 orang sehari. 

 

Ketika menjawab pertanyaan Buletin Mutiara sama ada pembangunan makmal diagnostik COVID-19 di dalam bangunan lapangan terbang antarabangsa tersebut merupakan yang pertama seumpamanya di Malaysia, Abdul Razak percaya Pulau Pinang merupakan negeri pertama yang mengambil inisiatif mewujudkan makmal berkenaan bagi memastikan negeri ini kekal sebagai zon Hijau. 

 

“Paling utama adalah Pulau Pinang sentiasa bersedia dalam mengorak langkah seiring dengan SOP (tatacara operasi standard) yang ditetapkan,” ulasnya. 

 

Mengulas mengenai rahsia kejayaan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam ‘perang’ melawan penularan wabak COVID-19, Abdul Razak memberitahu bahawa kunci utama ada jalinan kerjasama dan komitmen Kerajaan Negeri bersama-sama agensi Kerajaan Persekutuan dan masyarakat. 

 

“Pulau Pinang telah mencapai zon Hijau (sejak 8 Mei lalu) dan pastinya kita mahu mengekalkannya begitu. 

 

Saya percaya ‘secret recipe’ adalah komitmen semua pihak, daripada Kerajaan Negeri, Kerajaan Persekutuan dan kita sebagai anggota masyarakat. 

 

“Malah, saya turut memuji pendekatan yang diambil oleh Yang Amat Berhormat Ketua Menteri (Tuan Chow Kon Yeow) kita dalam mendepani pandemik ini. 

 

“Sejak awal lagi beliau (Ketua Menteri) banyak membantu agensi Kerajaan Persekutuan seperti JKNPP, polis dan lain-lain barisan hadapan…dari segi pemberian pelitup muka, cecair sanitasi tangan, kelengkapan-kelengkapan lain serta wang ringgit.

 

“Begitu juga sokongan daripada badan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini yang turut sama-sama menghulurkan bantuan bagi memastikan Pulau Pinang sedia menghadapi cabaran COVID-19. 

 

“(Dan) satu lagi, apabila Kerajaan Persekutuan melalui MKN mengumumkan sesuatu SOP, Kerajaan Negeri akan mengambil inisiatif meneliti dengan terperinci dahulu sebelum melaksanakan di negeri ini, kerana setiap negeri adalah berbeza persekitarannya. 

 

“Saya berharap kita akan menang dalam ‘perang’ melawan COVID-19,” zahirnya penuh semangat. 

 

Penang Lawan COVID-19! 

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI 
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS