Kekalkan daya saing, Timbalan Menteri seru penggiat industri pelancongan naik taraf produk

Admin
MUHAMMAD Bakhtiar Wan Chik ketika berucap baru-baru ini.

TANJONG BUNGA – Pemain industri pelancongan di negeri ini diseru agar lebih agresif menaik taraf produk keluaran mereka dalam memastikan ia terus kekal berdaya saing.

Seruan itu disuarakan Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Muhammad Bakhtiar Wan Chik ketika Taklimat Tabung Khas Pelancongan 3 (STF3) Kepada Penggiat-penggiat Industri Pelancongan Negeri Pulau di sini baru-baru ini.

“Produk pelancongan perlu sentiasa diperbaharui dan direjuvinasi untuk terus menggamit kunjungan pelancong… mereka (pelancong) selalunya ingin sesuatu produk dan tarikan baharu,  bukan nak lihat produk yang mati (sama).

“Zaman kini juga telah berubah apabila pelancong tidak hanya datang untuk melihat, sebaliknya berminat untuk merasai ‘pengalaman’ ketika melancong.

“Justeru,  kita melalui Kementerian Kewangan dalam Bajet 2019 beri suntikan dana sejumlah RM500 juta dalam menjayakan STF3 ini,” ujar beliau yang juga Ahli Parlimen Balik Pulau.

Hadir sama, Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia (MoTAC) Pulau Pinang, Jonathan Freddy P.Bagang; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SME Bank, Aria Putera Ismail,  dan Presiden Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Pulau Pinang, Khoo Boo Lim.

Dalam perkembangan lain, Bakthiar turut mengumumkan peningkatan kedatangan pelancong sebanyak 2.7 peratus dari Januari sehingga Mac tahun ini berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

 “Kita perlu bekerja lebih keras untuk pastikan angka tersebut terus meningkat, jadi diharapkan inisiatif penyediaan dana RM500 juta pinjaman untuk penggiat industri pelancongan ini dapat menambah nilai setiap produk yang ditawarkan,” ujarnya sambil menyatakan bahawa bagi tahun 2019, MoTAC menyasarkan kedatangan pelancongan akan meningkat kepada sembilan peratus iaitu kira-kira 24.8 juta pelancong.

Teks & Gambar : WATAWA NATAF ZULKIFLI