SEBERANG JAYA – Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) harus terus kekal sebagai organisasi kerajaan yang mesra perniagaan demi menggalakkan lebih banyak lagi pelaburan langsung asing (FDI) memilih Batu Kawan sebagai destinasi pelaburan masa depan mereka.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menyampaikan amanat itu sebelum menyaksikan istiadat majlis ikrar dan mengangkat sumpah terimaan jawatan Dato’ Azhar Arshad sebagai Datuk Bandar Seberang Perai yang baru serta kesemua 24 Ahli Majlis lain bagi tahun 2022.
“(Seberang Perai) akan menjadi pusat teras terpenting untuk pertumbuhan Koridor Ekonomi Wilayah Utara (NCER) pada masa depan bagi negeri Pulau Pinang.
“Pada masa sama, lebih banyak pelaburan langsung asing (FDI) dalam industri berteknologi akan berada di Batu Kawan dan menjadi tunjang pembangunan serta pertumbuhan ekonomi untuk negeri kita.
“Justeru, MBSP harus kekal sebagai organisasi yang mesra perniagaan dan terus menambah baik mutu penyampaian termasuk menaik taraf infrastruktur dan mobiliti,” jelasnya yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Ekonomi dan Komunikasi dalam majlis berkaitan di sini pada 7 Januari 2021.
Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong turut berharap MBSP dapat terus meningkatkan budaya profesionalisme dengan bertindak pantas terhadap aduan-aduan yang dibangkitkan oleh penduduk lokal.
Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo yang berucap sebelum itu turut merakamkan penghargaan kepada mantan Datuk Bandar MBSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud yang telah berkhidmat dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan sejak tahun 1990.
“Beliau (Rozali) ada begitu banyak inspirasi untuk Seberang Perai, justeru, kita (MBSP) dapat meneruskan aspirasi dan objektif ini untuk Pulau Pinang,” ujarnya yang juga ADUN Datuk Keramat.
Di samping itu, beliau turut berharap MBSP dapat mempercepatkan proses pelaksanaan Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang (RSNPP) dan Rancangan Tempatan (Seberang Perai) yang berkaitan untuk memenuhi permintaan penduduk.
Sementara itu, Azhar menzahirkan penghargaan atas kepercayaan Pihak Berkuasa Negeri melantik beliau sebagai Datuk Bandar MBSP yang kedua.
Selain Azhar, difahamkan 24 Ahli Majlis mengangkat sumpah bagi tempoh kepemimpinan yang berakhir pada 31 Disember 2022.
Wakil Parti Tindakan Demokratik (DAP), K. Tharani; Ahmad Tarmizi Jusoh (wakil Parti Amanah Negara), R.K. Delakan (Leadership and Professionalism Development Society merangkap Pengasas dan Presiden Lead Malaysia dan Jeffery Koay Kai Chin (Dewan Perniagaan Thionghua Pulau Pinang) merupakan empat muka baru yang dilantik sebagai Ahli Majlis MBSP tahun 2022.
Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman; beberapa Exco Kerajaan Negeri; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Dr. Ahmad Jailani Mohamed Yunus; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ar. Yew Tung Seang dan Pemangku Setiausaha Bandaraya MBSP, Baderul Amin Abd. Hamid antara pemimpin Kerajaan Negeri yang menyaksikan majlis istiadat berkenaan.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS