Kekalkan semangat Perpaduan sepanjang kempen PRK Sungai Bakap

Admin
263cdc9d f634 4c11 9ea8 b98286b093b9 CHOW Kon Yeow (kiri) dan Rafizi Ramli (kanan sekali) antara yang hadir dalam Majlis Pelancaran Jentera Perpaduan Pulau Pinang sempena Pilihan Raya Kecil (PKR) Sungai Bakap di sini pada malam tadi.

SUNGAI BAKAP – Bagi memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, sekalian pemimpin Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) harus terus mengekalkan momentum semangat perpaduan sepanjang tempoh kempen selama 14 hari yang berakhir jam 11.59 malam 5 Julai depan.

 

4eae3e08 e24c 4c2c aca1 7053af8ea20a
CHOW Kon Yeow

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow yang juga Pengerusi PH negeri Pulau Pinang berkata demikian semasa berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Perpaduan sempena PRK DUN Sungai Bakap di sini pada 9 Jun 2024.

“Kita harus bersikap tegas bahawa (PRK Sungai Bakap) ini bukan suatu pertandingan yang mudah, tetapi suatu pertandingan yang cukup mencabar memandangkan Sungai Bakap (pernah) menjadi kubu kepada Pakatan Harapan selama tiga penggal (sejak tahun 2008).

“Walaupun sedemikian, kita perlu menganggap ini bukan suatu cabaran yang tidak boleh dimenangi sekiranya kita berkempen dengan semangat perpaduan yang ditunjukkan oleh barisan pimpinan (seperti) pada malam ini.

“Sekiranya semangat perpaduan dan kebersamaan ini dapat kita kekalkan sepanjang kempen di Sungai Bakap, semestinya kita ada peluang untuk menang balik kerusi dari Perikatan Nasional (PN),” jelasnya yang juga Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) negeri Pulau Pinang.

Turut berucap, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid yang juga Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang; Timbalan Presiden PKR merangkap Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli; dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir.

Hadir sama, Ketua Wanita PKR Nasional merangkap Ahli Parlimen Nibong Tebal, Fadhlina Sidek; dan Ahli Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Nurhidayah Che Rose yang juga Ketua Wanita PKR negeri.

Terdahulu, PRK berkenaan diadakan susulan kematian penyandangnya, Nor Zamri pada 24 Mei lalu akibat keradangan dalam perut.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang pada Ogos tahun lalu, Nor Zamri yang juga Yang Dipertua Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Nibong Tebal menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.

 

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS