AIR ITAM – Pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sekitar Pasar Awam Air Itam di sini berada pada tahap memuaskan.
Perkara tersebut dimaklumkan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow sejurus meluangkan masa kira-kira satu jam bagi mengedarkan pelitup muka kepada orang awam di sekitar pasar tersebut pagi tadi.
Menurut beliau, melalui pengamatannya, orang ramai rata-ratanya mematuhi kehendak jarak fizikal yang disarankan ketika berada di tempat awam seperti pasar serta gerai makanan di sini.
“Setelah hampir sebulan PKP dikuat kuasakan, orang ramai nampaknya sudah mula menyesuaikan diri dengan kehendak jarak fizikal yang sepatutnya.
“Kekalkan semangat ini, kita (rakyat Malaysia) perlu bersabar serta tabah bagi memutuskan rantaian COVID-19, dan kejayaan PKP ini memerlukan kerjasama semua pihak.
“Kita mungkin terjejas sumber pendapatan, malah ada yang hilang peluang pekerjaan, namun apa yang perlu dilakukan harus dilakukan, semoga Malaysia dapat mengawal wabak ini dan kembali pulih, rakyat dapat hidup seperti sedia kala,” ujarnya sejurus mengedarkan kira-kira 1,200 paket pelitup muka kepada orang ramai di pasar berkenaan.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Joseph Ng Soon Siang; Ahli-Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Ketua Polis Daerah Timur Laut (DTL), Asisten Komisioner Suffian Santong.
Menurut Soon Siang, sejumlah 30,000 pelitup muka yang diterima pejabatnya akan diedarkan secara berperingkat kepada orang ramai.
“Kita telah mengagihkannya kepada rumah strata (flat) di sekitar Air Itam, dan cuba untuk agih kepada hartanah lain juga… bagaimanapun bagi yang memerlukan, mereka boleh dapatkannya di Pusat Khidmat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Air Itam,” jelasnya.
Dalam pada itu, Suffian ketika mengulas perkembangan terkini PKP di sekitar DTL memaklumkan bahawa pihaknya akan menjalankan pemeriksaan lebih ketat pada Fasa 3 yang akan bermula 15 April ini.
“Terkini kita (Polis Diraja Malaysia, PDRM) melakukan lima sekatan jalan raya, dan pada Fasa 3 nanti, bilangan sekatan akan ditambah pada waktu-waktu tertentu.
“Justeru, orang ramai diminta agar lebih bertanggungjawab,” tegasnya.
Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : LAW SUUN TING
Video : ALISSALA THIAN