Kekurangan dana, kos bahan binaan meningkat antara faktor PDC buat pinjaman – Ketua Menteri

Admin
whatsapp image 2024 11 28 at 4.02.18 pm

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang memberi pinjaman berjumlah RM100 juta kepada Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) bagi membiayai sebahagian kos pembangunan Projek GBS by The Sea.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa pembiayaan berjumlah RM100 juta itu telah diluluskan pada Mesyuarat MMK Bilangan 18/2022 yang bersidang pada 8 Jun 2022 dan disahkan pada 15 Jun 2022.

Projek ini merupakan sebuah projek bangunan perkhidmatan perniagaan global (Global Business Services) yang bertujuan untuk merealisasikan hasrat Kerajaan Negeri dalam memacu ekonomi Pulau Pinang.

“Di samping itu, projek ini juga bakal menjadikan negeri ini sebagai destinasi utama pilihan pelabur bagi aktiviti-aktiviti perkhidmatan perniagaan global, Research & Development (R&D) dan teknologi maklumat (ICT).

“Selain itu, projek ini dijangka akan menawarkan lebih 1,000 peluang pekerjaan berpendapatan tinggi kepada golongan professional,” ujarnya ketika menyampaikan ucapan penggulungan sempena Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Kelima Belas di sini pada 28 November 2024.

Menurut Kon Yeow, projek tersebut dibangunkan bagi memenuhi permintaan syarikat-syarikat besar yang memerlukan ruang pejabat berstatus Multimedia Super Corridor (MSC) Malaysia.

“Maka, pada ketika itu PDC membangunkan Projek GBS by The Sea yang akan berstatus MSC Malaysia pada masa sama ia dapat mengekalkan pelaburan syarikat-syarikat besar berkaitan di negeri ini,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota itu.

Mengulas lanjut, Kon Yeow yang juga juga Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi menyatakan bahawa kekurangan dana dan perlunya pinjaman mudah untuk membiayai merupakan antara faktor PDC memerlukan pinjaman daripada Kerajaan Negeri.

Faktor lain adalah termasuk kos bahan binaan yang meningkat sehingga 30 peratus meskipun kadar sewaan pasaran masih pada kadar lama sehingga menyebabkan berlakunya aliran tunai projek ini pada kadar negatif.

“(Dan) kos pinjaman bank yang tinggi menjadi punca PDC memerlukan pinjaman daripada Kerajaan Negeri,” jelasnya.

Tambah Kon Yeow, Kerajaan Negeri Pulau Pinang sentiasa melakukan penilaian dan usaha wajar (due diligence) dalam pengurusan pinjaman kepada syarikat atau agensi di bawahnya bagi memastikan kedudukan kewangan adalah baik.

Difahamkan, Projek GBS by The Sea dengan kos sebanyak RM208 juta telahpun siap bakal dirasmikan oleh Perdana Menteri pada bulan Disember ini.

Dalam perkara berkaitan, sebarang penangguhan pembayaran balik pinjaman oleh syarikat-syarikat Kerajaan Negeri juga perlu dibawa untuk pertimbangan dan kelulusan mesyuarat MMK.

Permohonan penangguhan bayaran balik pinjaman hanya diluluskan setelah mempertimbangkan semua justifikasi yang kukuh daripada pihak peminjam termasuk kedudukan kewangan semasa turut diambil kira.

“Setakat ini, tiada permohonan penangguhan bayaran balik pinjaman dibawa ke tahun 2025,” katanya sebagai respons terhadap kenyataan ADUN Air Itam, Joseph Ng Soon Siang pada sesi perbahasan baru-baru ini.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : LAW SUUN TING