GEORGE TOWN – Kelab Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Ahli Kehormat / Bersekutu Pulau Pinang menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Kerajaan Negeri di bawah kepemimpinan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow.
Sokongan itu disuarakan pada pertemuan di Pejabat Ketua Menteri dekat Komtar semalam.
Pertemuan selama 30 minit itu diketuai Pengerusinya, Robin Yew yang hadir bersama-sama 11 Ahli Kehormat / Bersekutu lain.
Selain menjelaskan tentang peranan dan fungsi RELA, turut dibincangkan adalah berhubung penstrukturan Kelab RELA Ahli Kehormat / Bersekutu Pulau Pinang serta sumbangan yang dapat diberikan oleh anggota RELA di peringkat komuniti.
Turut dibincangkan adalah prosedur pengambilan anggota RELA yang kini diperketatkan bagi memastikan anggota berwajib dapat melaksanakan tanggungjawab dengan telus dan beretika.
Difahamkan, jumlah anggota RELA di Pulau Pinang kini mencecah 300,000 anggota dengan kira-kira 5,000 daripadanya adalah anggota sepenuh masa.
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD