SENI tari termasuk balet,bukan semua orang berpeluang untuk belajar. Apatah lagi untuk membuat persembahan.
Justeru, koreografi dan artis tari profesional terkenal yang mahu dikenali sebagai Aida Redza mencabar diri untuk mengajar anak-anak autisme di negeri Pulau Pinang secara percuma, jika mendapat sokongan daripada pihak berkepentingan termasuk daripada Kerajaan Negeri hari ini sendiri.
Aida anak kelahiran Selangor tetapi sejak 11 tahun bermastautin di Pulau Pinang.
Artis tari yang bermula di Peoples Association dance Company dan Graduan Ijazah Sarjana Seni Persembahan dari School of the Arts Di Netherlands, Aida berkata beliau lama berkelana di Kuala Lumpur sebagai aktivis seni tari dan memang hasrat untuk bergiat lebih aktif dalam bidang sama di negeri Pulau Pinang.
“Saya lihat di Singapura memang tetap ada kumpulan seni tari dengan penglibatan OKU kategori sindrom down, yang mana aktiviti mereka dibiayai oleh National Arts Council Singapore
“Jadi, saya ingin berusaha melaksanakan program inklusif seumpama itu dengan melibatkan anak-anak autisme di sini,” jelasnya lagi.
Kira-kira 11 tahun lepas, jelas Aida lagi, beliau pernah menubuhkan Euphoria Penang Modern Dance Ensemble dengan menghimpunkan guru-guru tari sambilan bagi melatih anak muda negeri.
Menurutnya, Euphoria Penang Dance Ensemble boleh bergerak aktif kerana ada sokongan daripada Ketua Menteri pada waktu itu, di samping dana tajaan Kumpulan Hunza Sdn. Bhd..
“Saya bersama-sama Hunza Sdn. Bhd. ada mohon sokongan daripada Ketua Menteri pada waktu itu, kira-kira 11 tahun dahulu.
“Euphoria Penang modern Dance (Ensemble) ditubuhkan yang mana latihan seni tari diberikan secara percuma kepada anak Pulau Pinang yang berusia 17 tahun hingga 30 tahun, dapat kolaborasi dengan pengarah tari dari Pulau Pinang yang sudah pernah membuat persembahan peringkat antarabangsa.
“Kita (Euphoria M Penang Dance Ensemble) selalu membuat persembahan dalam acara-acara rasmi Kerajaan Negeri sendiri.
“Oleh kerana pada waktu itu ada sokongan (dari sudut kewangan), kita pulangkan balik dalam bentuk persembahan seni (yang mana) bagi saya menaik taraf seni persembahan tari moden dengan tema negeri Pulau Pinang, juga penari kita,” jelas Aida dalam satu sesi temu ramah di astaka pusat membeli-belah Gurney Paragon, Tanjung Tokong di sini pada 9 September 2024.
Walaupun ditaklifkan sebagai Presiden Euphoria Penang Dance Ensemble, beliau turut aktif dalam aktiviti kelektif di bawah Ombak-Ombak ARTStudio.
Pada masa yang sama, Aida memberitahu bahawa beliau turut mengasaskan studio seni tari sendiri yang dikenali sebagai Studio Pentas.
“Sebagai artis, apa yang saya terima, akan saya pulang balik kepada masyarakat, maka saya terpanggil untuk melakukan sendiri sesuatu yang lain iaitu melatih seni tari khusus untuk anak-anak autisme.
“Di bawah Studio Pentas ini, saya boleh membawa mana-mana kumpulan terpilih seperti anak-anak autisme untuk melatih seni tari, serta akan datang mungkin membuat persembahan seperti kelompok lain di luar sana,” jelasnya.
Pada tahun 2009 dahulu, Aida memberitahu bahawa beliau bersama-sama Bold dan kumpulan Creative At Heart pernah melaksanakan projek inklusif yang dikenali sebagai Dream A Dream (D.A.D).
Di bawah program kolektif itu, Aida memberitahu bahawa kanak-kanak normal dan kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) kategori sindrom down serta anak-anak dari rumah pelindungan kanak-kanak dihimpunkan untuk belajar muzik dan seni tari, sebelum membuat persembahan bersama.
Berbekalkan pengalaman tersebut, Aida berkata bahawa beliau berhasrat untuk melaksanakan satu lagi program seni tari secara inklusif melibatkan OKU kategori Autisme pula, jika mendapat sokongan daripada Kerajaan Negeri hari ini serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan.
“Macam sekarang, memang diakui bahawa muzik dan seni tari turut membantu perkembangan kanak-kanak bukan sahaja kepada OKU, juga kepada warga emas bukan hanya menyihatkan badan serta menguatkan otot badan tetapi sebagai psychotherapeutic untuk membantu social-communicative skill.
“Juga kepada kanak-kanak autisme, sebenarnya seni tari selain daripada membantu mereka menyihatkan tubuh badan serta menguat otot badan mereka. Ia bantu promote emotional, social, cognitive, Dan physical integration untuk improve health dan well-being.
“Selain itu, kita selalu bertanya – kenapa mesti buat persembahan selepas belajar seni tari dan muzik? Bagi saya, untuk menjana keyakinan dan give them a sense of belonging for social and cultural sustainability dalam diri para pelatih termasuk kanak-kanak autisme berkenaan.
“Buat masa ini, saya memang mengenakan caj untuk mengajar seni tari, cuma saya berharap pada masa hadapan mereka boleh belajar secara percuma kerana ada sokongan daripada pihak berkepentingan termasuk Kerajaan Negeri sendiri,” jelasnya lagi.
Mengakhiri bicara wara, Aida berkata dekat negara tertentu di luar telah ada langkah yang proaktif daripada pihak kerajaan sendiri menggerakkan guru-guru tari sambilan untuk mengajar anak-anak watan mengenai seni dan jati diri negara.
“Kita memang ada membandingkan negara kita dengan negara tertentu di luar sana.
“Di negara kita, memang perlu ada kemahuan, sokongan keluarga dan kemampuan dari sudut kewangan terlebih dahulu, baru boleh belajar semua bidang seni tari terutamanya ballet atau kontemporari.
“Tetapi, di negara-negara tertentu, orang kebanyakan pun boleh belajar tari secara percuma kerana guru-guru tari untuk mengajar anak-anak digerakkan dalam komuniti dengan sokongan kerajaan.
“Sebagai artis dan guru seni tari, sekali lagi saya berharap dapat menjayakan program inklusif dengan melatih anak-anak autisme pula – kalau boleh secara percuma di Studio Pentas – supaya mereka juga boleh dan ada peluang membuat persembahan di khalayak kelak, jika mendapat sokongan daripada kerajaan dan pihak-pihak berkepentingan,” jelasnya lagi.
END