‘Kelonggaran’ diberi mesti ambil kira kapasiti semasa pemberian vaksin – Ketua Menteri

Admin
GAMBAR seorang pekerja industri sedang berbincang secara bersemuka dengan jururunding, sebelum menerima suntikan imunisasi di PPV Flextronics dekat Bukit Minyak di sini tadi.

BUKIT TENGAH – Kerajaan wajar membuka lebih banyak Pusat Pemberian Vaksin (PPV) selain meningkatkan kapasiti pemberian vaksin harian di PPV sedia ada, semasa membuat pertimbangan berhubung memberi kelonggaran kepada individu yang memperoleh suntikan imunisasi lengkap untuk merentasi daerah sebagaimana diumumkan Pusat sebelum ini.

KETUA Menteri

Mengulas lanjut, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa cadangan tersebut adalah demi memastikan tiada pihak mempertikaikan ‘kelonggaran’ yang diberikan atas pelbagai faktor antaranya adalah disebabkan kegagalan mengakses suntikan imunisasi lengkap.

“Kita perlu menyediakan PPV yang cukup kapasiti bagi mencapai sasaran ini.

“Jangan kita (Majlis Keselamatan Negara, MKN) memberi kelonggaran (berhubung beberapa cadangan kelonggaran prosedur operasi standard, SOP bagi mereka yang telah memperoleh dua dos suntikan vaksin), tetapi syarat itu tidak dapat dipenuhi, maka itu akan menimbulkan perasaan tidak puas hati,” jelasnya selepas mengadakan lawatan ke PPV lapangan dekat Flextronics Technology (Penang) Sdn. Bhd., Bukit Minyak di sini pada 22 Julai 2021.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tengah, Gooi Hsiao-Leung; ADUN Bukit Tambun merangkap ‘ADUN Angkat’ Sungai Acheh, Goh Choon Aik dan Ahli Parlimen Batu Kawan, P. Kasthuriraani.

KETUA Menteri (depan, tengah) diiringi P. Kasthuriraani (depan, kiri sekali), Goh Choon Aik (depan, dua dari kiri) dan Gooi Hsiao-Leung (depan, tiga dari kiri) merakamkan gambar dengan pasukan pengendali PPV Flextronics dekat Bukit Minyak tadi.
P. Viswanathan

Turut mengiringi, Naib Presiden (Operasi), P. Viswanathan dan Pengurus Besar Flextronics Technology (Penang) Sdn. Bhd., Tan Eng Chok.

Dalam Mesyuarat Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) Peringkat Negeri Pulau Pinang semalam, Kon Yeow memberitahu bahawa beliau sendiri menekankan soal peri penting membuka lebih banyak lagi PPV awam dan PPV menerusi menerusi Program Imunisasi Industri Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) sesegera.

Ini kerana, menurut beliau, cadangan membuka lebih banyak sektor ekonomi dengan meningkatkan kapasiti pemberian vaksin berbanding kadar operasi sedia ada kini membolehkan lebih ramai akses suntikan imunisasi lengkap dalam tempoh segera.

“Tiada mana-mana negeri akan dijamin selamat (daripada risiko perebakan varian baharu COVID-19) sehingga semua negeri benar-benar selamat (dengan populasi lengkap mendapatkan suntikan imunisasi lengkap).

“Tidak ada mana-mana kilang akan dijamin selamat (daripada risiko COVID-10) sehingga semua (kilang) benar-benar selamat (dengan populasi lengkap mendapatkan suntikan imunisasi lengkap).

“Sebab itu, pelbagai kemungkinan akan berlaku, maka semua pihak mesti saling bekerjasama untuk mencapai sasaran bersama (iaitu 40 peratus pemohon vaksin menerusi aplikasi pintar MySejahtera lengkap mendapatkan dua dos vaksin pada hujung bulan Ogos ini, selain 100 peratus lengkap mendapatkan dos pertama pada awal bulan September),” ujarnya yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Ekonomi dan Komunikasi.

KETUA Menteri (berdiri, kanan sekali) meninjau pengoperasian kaunter-kaunter di PPV Flextronics di sini tadi.

Sebelum itu, Viswanathan menyatakan bahawa PPV lapangan di sini menerusi PIKAS dijangka menerima kira-kira 13,500 pekerja Flextronics Technology (Penang) Sdn. Bhd. serta pekerja industri dari 90 kilang berhampiran di sini.

“Pihak kami mengucapkan terima kasih kepada MITI (Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri) kerana menggerakkan program PIKAS yang memainkan peranan penting dalam melindungi kesihatan pekerja sektor perkilangan.

“Sebagaimana disebut oleh Y.A.B. Ketua Menteri, kami memahami keperluan untuk mempercepatkan kadar imunisasi di Malaysia (maka) kami (Flextronics Technology (Penang) Sdn. Bhd.) menawarkan sumber kami di negeri ini termasuk fasiliti serta tenaga kerja untuk membantu kerajaan dalam menjalankan program vaksinasi berkaitan,” ulasya sambil merakamkan penghargaan atas lawatan Kon Yeow ke PPV PIKAS di sini.

Kelmarin, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata kajian untuk memberikan kelonggaran kepada individu yang memperoleh suntikan imunisasi lengkap akan dibuat bersandarkan beberapa faktor termasuk merangkumi model pelaksanaan yang digunakan negara jiran dan fakta sains, selain kebimbangan diutarakan pelbagai pakar kesihatan.

Ulas beliau lagi, sebarang keputusan dimuktamadkan Jawatankuasa Teknikal MKN berhubung perkara itu akan dibuat secara menyeluruh bagi mengelak risiko penularan jangkitan pada masa depan.

 

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS