Keluarga arwah Mohd. Izwan terima sebuah rumah baharu

Admin
dsc 1075

BAGAN DALAM – Keluarga Allahyarham Mohd. Izwan Illias, yang terlibat dalam tragedi mati lemas pada Februari lalu menerima sumbangan sebuah rumah daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

dsc 1047
DATO’ Seri S. Sundarajoo.

Exco Perumahan dan Alam Sekitar, Dato’ Seri S. Sundarajoo berkata sumbangan yang disalurkan melalui Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP) itu adalah bagi meringankan beban keluarga mangsa.

“Sebuah kerjasama strategik antara LPNPP, Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Pulau Pinang serta pihak-pihak yang terlibat berjaya direalisasikan menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) hari ini.

“Justeru, bagi merealisasikan hasrat Kerajaan Negeri dalam membantu meringankan beban waris Allahyarham Mohd. Izwan, Pegawai Bomba Kanan II (KUP) yang telah berkhidmat di JBPM Butterworth, LPNPP telah memutuskan untuk menawarkan seunit Rumah Mampu Milik A (RM42,000) iaitu Projek Mekar Sari, Bertam, Kepala Batas melalui Skim Sewa Beli.

“Sumbangan ini menunjukkan bahawa Kerajaan Negeri dan masyarakat tidak pernah melupakan jasa anggota-anggota yang berkhidmat dan berkorban demi negara,” ujarnya semasa Majlis Serahan Kunci kepada keluarga Allahyarham Mohd. Izwan semalam.

dsc 1077
SUNDARAJOO menyampaikan sumbangan kepada Ihsan Zulfaqar.

Penyerahan kunci disampaikan kepada anak kedua Allahyarham, Ihsan Zulfaqar Mohd. Izwan berserta sumbangan peribadi daripada Sundarajoo.

Hadir sama, Ahli Dewan Negara, Senator Dr. R.A. Lingeshwaran; Ahli Parlimen Bagan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Lim Guan Eng; wakil ADUN Sungai Puyu, Dato’ Seri Phee Boon Poh; Pengurus Besar LMNPP, ‘Ainul Fadhilah Samsudi dan Timbalan Pengarah JBPM Negeri Pulau Pinang, PPjB Ts. Zulfahmi Sutaji.

dsc 1069
LIM Guan Eng.

Sementara itu, Guan Eng turut memaklumkan sebagai tanda keprihatinan, pihaknya juga bakal membantu anggota keluarga mangsa.

“Bagi meringankan beban keluarga Allahyarham Mohd Izwan, saya akan menanggung kos sewa unit selama setahun.

“(Dan) bayaran sewa juga akan dikreditkan secara terus ke akaun LPNPP,” tambahnya.

Terdahulu, arwah Mohd. Izwan yang mempunyai kepakaran membaiki dan mengendali bot selama 13 tahun dilaporkan mati lemas ketika menguji enjin bot kevlar di Jeti Pangkalan Marin, Mak Mandin di Pulau Pinang pada 23 Februari lalu.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Jamaliah Abdul Majid dan lima anak berusia enam hingga 16 tahun.

Difahamkan, Allahyarham menabur bakti bersama JBPM sejak 2005, tujuh tahun di Akademi Wilayah Tengah manakala hampir 13 tahun di JBPM Pulau Pinang.

 

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL

Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI