Gambar : J. PATMAVATHY
BAYAN BARU – Impian seorang warga emas, Che Piah Aziz, 73, serta dua anaknya, Mustafa Darus, 54, dan Juliana Darus, 34, untuk memperoleh semula dokumen pengenalan diri mereka yang sebelum ini hilang dipercayai dicuri tercapai atas inisiatif yang diambil oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban, Dr. T. Jayabalan.
Ketika hadir di kediaman Che Piah untuk menyerahkan dokumen berkaitan, Jayabalan menyatakan bahawa beliau akan membantu Che Piah dan dua anaknya yang merupakan golongan kurang upaya (OKU) memperoleh jagaan yang lebih sempurna di pusat-pusat jagaan khas.
“Sebelum ini, hasrat untuk menempatkan Che Piah dan anak-anaknya ‘tergendala’ disebabkan mereka tidak memiliki dokumen pengenalan diri.
“Justeru, atas usaha JKKK (Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti) Lip Sin, akhirnya kami dapat memohon kad pengenalan baru untuk mereka,” katanya ketika hadir di kediaman Che Piah di Kampung Selamat, Sungai Dua di sini baru-baru ini.
Turut hadir, Pengarah JKM Pulau Pinang, Said Sidup.
Jayabalan yang juga seorang doktor perubatan turut menjalankan pemeriksaan kesihatan percuma terhadap Mustafa yang dipercayai lumpuh akibat demam panas sejak kecil.
Turut diserahkan adalah kad bantuan OKU kepada Mustafa dan Juliana.
Dalam pada itu, Said memberitahu, pihaknya akan cuba mempercepatkan proses untuk menempatkan keluarga Che Piah di tiga pusat jagaan berasingan berasaskan faktor-faktor keperluan kesihatan masing-masing.
“Che Piah akan ditempatkan di Jubilee Home (Pulau Pinang) bagi memudahkannya menjalani rawatan dialisis tiga kali dalam tempoh seminggu.
“Anak lelakinya (Mustafa) akan ditempatkan di Rumah Ehsan, manakala, anak perempuannya (Juliana) akan dihantar ke Taman Sinar Harapan yang masingmasing terletak di Kuala Kubu Bharu, Selangor,” jelas beliau.