SEBERANG JAYA – Karnival Baiti Jannati 2030 Peringkat Negeri Pulau Pinang yang dilangsungkan selama dua hari sehingga 14 Ogos 2022 di pusat membeli-belah mega Mydin Bukit Mertajam dekat Jalan Baru di sini sekali gus menjadi simbol komitmen Kerajaan Negeri hari ini dalam usaha mengiktiraf peranan keluarga Islam sebagai unit asas pada agenda pembangunan umat.
Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman yang juga Exco Hal Ehwal Agama Islam, Koperasi dan Pemerkasaan Komuniti menyampaikan amanat tersebut semasa berucap pada acara perasmian penutup karnival tersebut.
“Tahniah kepada Teras Baiti Jannati atas penganjuran program yang bermakna ini,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pinang Tunggal, dipetik dari sumber Facebook peribadi pada 14 Ogos 2022.
Di samping itu, beliau yang juga Yang di-Pertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) memberitahu bahawa penganjuran karnival tersebut merupakan salah satu teras di bawah Khaira Ummah 2030 iaitu pelan pembangunan berkaitan umat Islam untuk jangka masa panjang sehingga tahun 2030.
Menurut sumber lagi, pertandingan mewarna ‘My Family’, Pidato Kekeluargaan, ‘Teen Talk’, ‘Halal’s Walkabout’, gerai pameran agensi, Bicara Santai dan Cilik Mumtaz merupakan antara acara menarik sepanjang karnival tersebut.
Acara perasmian penutup turut diserikan dengan alunan nasyid indah oleh Shidee Khayran dan Ustaz Huri.
Difahamkan, Mufti Negeri Pulau Pinang, Sohibus Samahah Dato’ Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor, Timbalan Yang di-Pertua MAINPP, Dato’ Dr. Roslan Ahmad dan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Dakwah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP), Mohd. Hanif Omar merupakan antara pemimpin Kerajaan Negeri yang menyertai acara perasmian penutup karnival tersebut.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB