Keluarga terjejas akibat COVID-19 di Batu Maung terima bakul makanan, oximeter

Admin

BATU MAUNG – Seramai 200 keluarga dalam kalangan nelayan dan pekerja harian di Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Batu Maung yang terjejas akibat penularan COVID-19 menerima sumbangan bakul makanan tajaan syarikat hartanah, M Summit Group.

 

Exco Perdagangan, Industri dan Pembangunan Usahawan, Dato’ Abdul Halim Hussain yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung ketika ditemui berkata, sumbangan tersebut adalah inisiatif yang dilakukan secara kolaborasi dengan syarikat hartanah berkaitan.

 

Menurutnya, sumbangan yang mengandungi keperluan barangan makanan harian itu juga diserahkan kepada keluarga yang menjalani kuarantin di rumah.

 

“Keluarga yang disahkan positif (COVID-19) pula, sebanyak 30 unit peranti oximeter disediakan secara pinjaman bagi membantu pesakit memantau tahap oksigen dalam darah.

 

“Kalau (tahap oksigen) menurun dengan teruk maka mereka dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan segera,” jelasnya sambil merakamkan penghargaan kepada Pengarah Urusan M Summit Group, Datuk Albert Moh yang turut hadir pada penyampaian sumbangan petang ini.

 

Sumbangan secara berperingkat tersebut berlangsung di Pusat Khidmat KADUN Batu Maung.

Sementara itu, Albert Moh ketika bertemu pemberita memberitahu bahawa sumbangan tersebut adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang sememangnya menjadi ‘jalan’ untuk membantu komuniti yang memerlukan.

 

“Hari ini, M Summit Group membantu masyarakat dengan menyampaikan sumbangan kecil yang bernilai RM8,000 keseluruhannya,” ujarnya.

 

Dalam perkembangan lain, Abdul Halim memaklumkan bahawa kes positif dan kematian akibat COVID-19 di kawasannya kini mengalami penurunan berbanding bulan Ogos lepas.

 

“Kalau dahulu (Ogos) satu hari kita perlukan sekurang-kurangnya 30 bakul makanan untuk diedarkan tetapi sekarang jumlah tersebut telah menurun selari dengan penurunan kes di negeri ini,” katanya.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD