Kelulusan permohonan Program Kewarganegaraan tertakluk di bawah KDN

Admin
tkm0612a 槟州公民权计划主任叶进强。

GEORGE TOWN – Setiap permohonan yang dikemukakan di bawah Program Kewarganegaraan Pulau Pinang adalah tertakluk di bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Penyelia Program Kewarganegaraan Pulau Pinang, Yeap Choon Keong berkata, Bahagian Kewarganegaraan Pulau Pinang (BKPP) yang merupakan unit selia program berkenaan, tidak pernah mengeluarkan atau memberi kad pengenalan kepada pemohon.

“Sebaliknya pihak kami (BKPP) membantu dan membimbing pemohon melengkapkan dokumen lalu mengemukakan permohonan kewarganegaraan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN),” ujarnya ketika ditemui di Komtar baru-baru ini.

Jelasnya, menerusi program tersebut juga, pihaknya akan memberi penerangan dan panduan kepada rakyat yang menghadapi masalah taraf kewarganegaraan berlandaskan syarat-syarat yang telah digariskan oleh JPN.

Program Kewarganegaraan Pulau Pinang merupakan satu bentuk inisiatif Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang bertujuan membantu rakyat yang keciciran warganegara.

“Pihak kami (BKPP) akan membimbing (mengenai) tatacara melengkapkan dokumen berlandaskan syarat-syarat yang digariskan oleh JPN,” katanya.

Mengulas lanjut, Choon Keong memaklumkan antara masalah yang sering dihadapi oleh pemohon adalah daftar lewat kelahiran, daftar lewat kad pengenalan, permohonan kewarganegaraan Malaysia, permohonan MyPR (Kad Pengenalan Kanak-Kanak 12 Tahun atau Kali Pertama Bukan Warganegara), MyKAS (Kad Pengenalan Pemastautin Sementara) dan lain-lain permohonan berkaitan dengan status kerakyatan Malaysia.

“Justeru, pihak kami (BKPP) berharap perkara ini (mengenai Program Kewarganegaraan Pulau Pinang) tidaklah dijadikan isu politik,” katanya lagi.

 

Terdahulu, Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim melalui sidang media pada 9 Jun 2024 menegaskan bahawa BKPP bukanlah sebuah unit baharu yang beroperasi secara rahsia.

 

“BKPP telah ditubuhkan sejak tahun 2013 selepas Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) meluluskan cadangan mewujudkan Program Kewarganegaraan Pulau Pinang.

 

“Malah, ia juga dibentangkan dalam Dewan Undangan Negeri dan semua orang sedia maklum mengenai unit ini (BKPP),” jelasnya selaku pemantau program tersebut.

Menurut Siew Khim, Program Kewarganegaraan Pulau Pinang telah membantu ramai penduduk Pulau Pinang yang layak mendapatkan kewarganegaraan mengikut undang-undang.

Sekiranya permohonan tidak memenuhi syarat di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan, maka BKPP akan menasihati pemohon langkah-langkah sewajarnya.

“Seramai empat Pegawai Pembantu Kewarganegaraan dilantik untuk membantu penduduk Pulau Pinang yang lahir di Pulau Pinang dan menghadapi pelbagai masalah permohonan taraf kerakyatan Malaysia.

“(Dan) BKPP tidak mengeluarkan kad pengenalan, tetapi hanya bertindak sebagai perantara antara orang awam dan kerajaan,” tegasnya.

 

Baru-baru ini timbul pelbagai spekulasi di media sosial berhubung Program Kewarganegaraan Pulau Pinang sehingga wujud salah faham dalam kalangan netizen.