Kelulusan segera RM10 juta bina semula Pasar Awam Bkt. Mertajam

BUKIT MERTAJAM – Pasar Awam Bukit Mertajam yang terlibat dalam insiden kebakaran baru-baru ini akan dibina semula di atas tapak sama dalam tempoh tiga tahun oleh Kerajaan Negeri dengan anggaran peruntukan segera sebanyak RM10 juta daripada Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng memberi maklum balas serta cadangan itu kepada media selepas melawat sendiri kawasan kejadian serta bertemu dengan penjaja-penjaja terbabit di sini.

“Kita akan membuat kelulusan segera kirakira RM10 juta untuk cadangan projek ini.

“Dalam tempoh peralihan ini, kita (Kerajaan Negeri) secara dasarnya membolehkan mereka berniaga di tempat berhampiran seperti yang akan diuruskan oleh MPSP.

“MPSP akan menjalankan secara pentadbiran untuk menyusun perpindahan peniaga dan keputusan muktamad dibuat oleh MPSP juga,” ujarnya baru-baru ini.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow, Lim Hock Seng (Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Utiliti), Phee Boon Poh (Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar) dan Chong Eng (Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat) turut menyertai lawatan kerja tersebut.

Hadir sama, Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong, Lee Khai Loon (Ahli Dewan Undangan Negeri Machang Bubuk), Maimunah Mohd. Sharif (Yang di- Pertua MPSP) dan Jusni Ismail (Pegawai Daerah Seberang Perai Tengah).

Menurut Guan Eng, cadangan Kerajaan Negeri membina sebuah pasar awam baru di tempat sama antara lain kerana bangunan yang berusia lebih 50 tahun itu turut dikenal pasti berbahaya untuk aktiviti penjajaan setempat.

Baru-baru ini, beberapa bahagian bangunan lama Pasar Awam Bukit Mertajam dilaporkan musnah akibat kebakaran. Insiden itu mengakibatkan operasi peniagaan kira-kira 243 penjaja terjejas.

Tambah Guan Eng, kerja-kerja pemajuan Pasar Awam Bukit Mertajam akan dipercepatkan sesegera mungkin supaya keseluruhan peniaga di sini yang berjumlah kira-kira 420 orang boleh kembali berniaga seperti biasa di bangunan baru kelak.