Kelulusan TPM80PP cecah RM300 juta selenggara skim perumahan di Pulau Pinang

Admin

GEORGE TOWN – Jumlah kelulusan Tabung Penyelenggaraan Maksimum 80 Pulau Pinang (TPM80PP) kini sudah melebihi RM300 juta sejak ditubuhkan pada tahun 2019 sehingga kini.

 

 

Perkara tersebut dimaklumkan oleh Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo sejurus mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa TPM80PP pagi tadi.

 

 

“Yang terpenting untuk tabung ini pada kali pertama setelah selesai penilaian TPM80PP kita telah cecah RM300 juta dalam bantuan kita kepada semua projek (penyelenggaraan) yang layak terima bantuan tersebut.

 

 

“Saya dimaklumkan sebelum ini kita telah luluskan RM297juta untuk keseluruhan empat tabung yang kita ada, memandangkan mesyuarat hari ini selesai kita telah pun cecah dan sampai kepada RM301.448 juta.

 

 

“Dengan keseluruhan empat tabung kita 32,623 projek selesai dan kita akan teruskan dengan melihat kepada semua skim-skim yang memerlukan bantuan,” ujar beliau dalam satu sidang media di pejabat Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP) di sini pagi tadi.

 

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban, A. Kumaresan; ADUN Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz; ADUN Pengkalan Kota, Daniel Gooi Zi Sen dan Ketua Pegawai Operasi LPNPP, Mohd. Fauzy Mohd. Yusoff.

 

 

Dalam perkembangan lain, Jagdeep memberitahu, pihaknya sudah mengenal lima bidang tanah di kelima-lima daerah bagi Kerajaan Pusat menyediakan Rumah Mampu Milik (RMM) mahupun Projek Perumahan Rakyat (PPR).

 

 

“Walaubagaimanapun kita (Kerajaan Negeri) masih menunggu dan berharap Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan) dapat beri sedikit maklum balas dan bantu dalam isu perumahan.

 

 

“Selain itu kita sudah buat permohonan bagi tabung penyelenggaraan dan kita menunggu kelulusan RM134juta bagi penyelenggaraan skim perumahan awam Pulau Pinang,” katanya yang juga ADUN Datuk Keramat.

 

 

Text & Gambar : WATAWA NATAF ZULKIFLI