Kem Muhibah tingkatkan ‘soft skill’ dalam kalangan pelajar – ADUN

Admin

JAWI – Dalam perkembangan teknologi terkini, kebanyakan para pelajar menghabiskan masa dengan aktiviti tidak berfaedah seperti melayari laman sosial yang dilihat mampu memberi kesan terhadap perkembangan komunikasi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi, Jason H’ng Mooi Lye berkata, atas sebab tersebut, beliau mengambil inisiatif menganjurkan Kem Muhibah selama tiga hari bertempat di Taman Negeri Bukit Panchor minggu lalu.

“Saya yakin Kem Muhibah yang disertai oleh para pelajar ini dapat meningkatkan ‘soft skills’ (kemahiran insaniah) dalam kalangan mereka sekaligus meningkatkan kemahiran komunikasi dan keyakinan diri dalam pergaulan,” ucapnya pada majlis penutupan rasmi Kem Muhibah baru-baru ini.

Ketika ditemui, Mooi Lye percaya kem tersebut juga dapat memupuk nilai-nilai perpaduan dalam kalangan peserta yang berbilang bangsa dan kaum.

Difahamkan, Kem Muhibah bertemakan “Forest for Fun” menampilkan pelbagai aktiviti seperti masakan rimba, kemahiran untuk hidup, permainan hutan dan aktiviti malam di hutan.

Oleh : YUSNINA MOHAMAD YUSOF
Gambar : ADUN