BAYAN LEPAS – Program Asas Berenang dan Keselamatan Air yang akan dianjurkan oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dengan kerjasama Persatuan Penyelamat Butterworth memberi peluang kepada kanak-kanak berumur 7 hingga 12 tahun dari golongan B40 untuk mempelajari kemahiran tersebut.
Menurut Ahli Majlis MBPP, Gerald Mak Mun Keong berkata program tersebut bertujuan untuk mengurangkan kes lemas terutama di kalangan kanak-kanak dan memberi pendedahan serta tunjuk ajar kepada kanak-kanak yang tidak berpeluang mengikuti kelas renang yang dianjurkan oleh pihak swasta.
“Program ini adalah satu aktiviti yang bermanfaat kepada ibu bapa dan kanak-kanak bagi golongan tersebut yang gemar melakukan aktiviti air serta dapat menambah pengetahuan mengenai aspek keselamatan air.
“Saya berharap agar kanak-kanak ini dapat mempelajari kemahiran baharu dan menyemarakkan keyakinan diri serta dapat memupuk minat mereka untuk menceburi bidang sukan khususnya sukan renang,” ujarnya ketika berucap pada program berkenaan di Kompleks Sukan Bandaraya Relau, semalam.
Hadir sama, Ahli-Ahli Majlis iaitu P.R. Kaliyappan dan Latifah Hussainsa; Pengarah Jabatan Khidmat Kemasyarakatan bagi MBPP, Rashidah Jalaludin dan tenaga pengajar Persatuan Penyelamat Keselamatan Butterworth, Tan Kuan Ling.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan, program tersebut akan diteruskan untuk tahun hadapan jika mendapat sambutan yang menggalakkan daripada golongan sasar.
Difahamkan seramai, 60 orang kanak-kanak menyertai program berkaitan dengan penuh bersemangat dalam mempelajari asas kemahiran penting itu.
Teks & Gambar: SITI HUMAIRA MOHAMED YASIN