Kemajuan Pangsapuri Indah Mak Mandin capai 64 peratus, jangka siap suku keempat 2023

Admin

PERAI – Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa, Jagdeep Singh Deo memaklumkan bahawa Projek Rumah Mampu Milik (RMM) di Mak Mandin, di sini berada pada garis masa yang ditetapkan.

 

Katanya, kemajuan projek yang dinamakan sebagai Pangsapuri Mak Mandin Indah itu kini berada pada tahap 64 peratus.

 

“Projek ini merangkumi RMM Jenis A berjumlah 187 unit dan ini selari dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk menyediakan pelbagai RMM sebanyak 220,000 unit menjelang tahun 2030.

“Kita harap projek ini dapat disiapkan mengikut garis masa dan piawaian kualiti yang kita mahukan.

“Ini mustahak kerana rumah adalah antara aset terpenting yang dibeli oleh rakyat sebagai tempat tinggal dan perlindungan kepada keluarga,” ujar beliau ketika melakukan lawatan ke tapak projek Pangsapuri Mak Mandin Indah di sini pagi tadi.

Hadir sama, Pengurus Besar Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP), ‘Ainul Fadhilah Samsudi dan wakil Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC).

 

Dalam perkembangan berkaitan, Jagdeep menjelaskan bahawa Kerajaan Negeri sudah memainkan peranan dalam memastikan bekalan RMM di Pulau Pinang adalah mencukupi.

Difahamkan projek tersebut bakal siap dan mempunyai sijil layak menduduki menjelang suku keempat tahun hadapan.

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD