Kemajuan teknologi perlukan penawaran bakat seiring kemahiran semasa serta masa depan – Kon Yeow

BATU MAUNG – Sektor awam dan swasta perlu bergerak seiringan dalam memastikan penawaran bakat berpengetahuan serta mahir memenuhi keperluan landskap Revolusi Industri 4.0.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, seiring kemajuan teknologi hari ini seperti robotik, big data, kecerdasan buatan (AI), IoT dan banyak lagi adalah memerlukan penawaran bakat yang memiliki kemahiran semasa serta masa depan.

“Tidak dapat dielakkan, digitalisasi berlaku pesat di persekitaran kita… industri teknologi adalah salah satu yang sentiasa berubah dan membawa kepada inovasi yang meningkatkan perniagaan, masyarakat serta cara hidup kita.

“Dianggarkan kira-kira 54 peratus daripada pekerjaan semasa di Malaysia akan berubah kepada automasi, justeru kita sewajarnya menyusun semula sukatan pelajaran, latihan pekerjaan dan menyediakan program peningkatan kemahiran bagi membantu tenaga kerja sedia ada serta generasi pelapis berpindah dan menguasai gelombang baharu teknologi ini.

“Kita perlu mengambil kesempatan daripada pekerjaan dan peluang yang ada kerana ia akan menjadi kemahiran yang tinggi permintaannya pada tahun 2030 kelak,” ujarnya ketika hadir merasmikan Dell Malaysia University Connect Day di sini tengah hari tadi.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif investPenang (iP), Dato’ Loo Lee Lian dan Pengarah Urusan Dell Technologies Malaysia, Pang Yee Beng.

Dell Malaysia University Connect Day merupakan inisiatif perintis Dell Technologies Malaysia dalam menggilap serta menyerlahkan bakat kemahiran kalangan generasi pelapis terutamanya pelajar universiti yang memasuki alam pekerjaan selepas ini.

Pada program berkenaan, kira-kira 200 mahasiswa dari universiti awam dan swasta tempatan terlibat.

Yee Beng ketika berucap berharap program perintis berkenaan akan memberi peluang kepada lebih ramai pelajar untuk dimanfaatkan.

“Dalam memastikan para graduan baharu memperoleh pekerjaan sewajarnya, pengasas Dell iaitu Michael Saul Dell mengarahkan agar setiap perjawatan baharu yang diambil, salah seorangnya perlulah graduan baharu, ia terpakai di semua cawangan Dell seluruh dunia, dan langkah tersebut dikira bertepatan apabila program berkenaan sememangnya idea kolaborasi daripada GenNext iaitu kakitangan generasi baharu kami” jelasnya.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI
Video : DARWINA MOHD. DAUD