Kemarau pingat tujuh tahun skuad menembak negeri Pulau Pinang berakhir

Admin
TRIO atlet yang memenangi pingat gangsa bagi acara 50 meter pistol wanita berpasukan di Lapang Sasar Kebangsaan Subang di sini pada 19 September 2022.

SUBANG, SELANGOR – Kemarau pingat yang dinanti-nantikan oleh skuad menembak negeri Pulau Pinang sejak temasya sukan dwitahunan Sukan Malaysia (SUKMA) 2014 berakhir kini apabila berjaya mengumpulkan tiga pingat sepanjang acara itu berlangsung di Lapang Sasar Kebangsaan Subang di sini.

Petang ini menyaksikan Nur Sumayyah Dzulkifli, Siti Zulaika Haira Rosman dan Shaveena Mei Vejayan menghadiah satu pingat gangsa bagi acara acara 50 meter pistol wanita berpasukan, kepada Kontinjen SUKMA Pulau Pinang.

Mereka berjaya membidik mata keseluruhan sebanyak 1,731 mata di belakang skuad menembak negeri Sarawak (1,744) yang memenangi pingat emas, dan skuad Negeri Sembilan (1,741) selaku pemenang pingat perak.

Sementara semalam (18 September 2022), Shaveena Mei Vejayan menghadiahkan pingat emas bagi acara senapang angin 10 meter individu wanita.

Semalam juga, Shaveena yang berganding bahu dengan Nur Maisarah dan Nur Sumayyah turut membolot pingat gangsa bagi acara 10 meter pistol berpasukan wanita.

Faizah Ab Aziz

Jurulatih Skuad Menembak Negeri Pulau Pinang, Faizah Ab Aziz yang ditemui kemudian memberitahu Buletin Mutiara bahawa rekod kejayaan menghimpunkan tiga pingat sempena SUKMA Ke-20 kini sekali gus menamatkan kemarau pingat yang dinanti-nantikan sejak temasya sukan dwitahunan 2014.

“Lapan acara keseluruhannya kita sertai (dengan) melibatkan atlet lelaki dan wanita, yang mana sasaran kita (skuad menembak Pulau Pinang) hanya satu pingat bagi acara 10 meter (pistol) berpasukan wanita.

“Pencapaian dalam SUKMA 2022 ini menamatkan musim kemarau pingat sejak 2014,” jelasnya yang juga bekas atlet menembak negeri Pahang.

Tahniah skuad menembak Pulau Pinang!

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI