Kematian tahanan, cadang undang-undang dikemaskini

Gambar : G. REVATIC

GEORGE TOWN – Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy mempersoal tindakan Peguam Negara yang seakan-akan diam berkaitan isu kematian dalam tahanan Polis di- Raja Malaysia (PDRM).

Jelasnya, sejak tahun 2005 sehingga kini, terdapat lebih 100 kematian dicatatkan melibatkan tahanan di bawah PDRM.

“Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, begitu ramai tahanan yang mati ketika ditahan di bawah tahanan polis sedangkan undang-undang jelas menyatakan bahawa semua prosedur perlu diikuti bagi memastikan individu yang ditahan untuk siasatan, selamat.

“Sebarang bentuk kekerasan tidak kira dalam bentuk apa sekalipun tidak harus dibenarkan ketika tahanan berada di bawah jagaan polis,” katanya kepada pemberita di sini baru-baru ini.

Turut hadir, Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo.

Mengulas lanjut, Ramasamy turut mengulas keputusan Koroner Mahkamah Tinggi, Ahmad Bache yang mendapati bahawa pihak polis telah bertindak cuai dan tidak berperikemanusiaan kepada P. Chandran, tahanan yang mati pada September 2012.

“Penelitian pada kamera litar tertutup (CCTV) mendapati Chandran agak tidak bermaya selama hampir 12 jam dan kematiannya dicatat sebagai hypertension heart disease. Mangsa juga tidak diberikan sebarang ubat-ubatan mahupun rawatan semasa dalam tahanan polis sehingga menyebabkan kematiannya.

“Malah, apa yang lebih mengecewakan, pihak polis dan Kementerian Kesihatan seolah-olah bekerjasama dalam kes-kes ini kerana hampir 90 peratus kematian dalam tahanan berlaku kerana mangsa mempunyai rekod masalah kesihatan.

“Ia juga menjadi misteri, terutamanya ada kes-kes di mana terdapat kesan lebam-lebam di badan,” tegas beliau.

Di Pulau Pinang, menurut Ramasamy, sehingga kini terdapat enam kes kematian dalam tahanan.

Lanjutan itu, beliau memberitahu, sebuah jawatankuasa khas telah ditubuhkan tahun lalu bagi memantau kes-kes melibatkan kematian dalam tahanan di Pulau Pinang dan melantik peguam berwajib bagi membela keluarga mangsa -mangsa terbabit..

“Pasukan petugas khas ini diketuai oleh saya sendiri dengan keanggotaan dua orang exco lain iaitu Dr. Afif Bahardin (Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan) dan Jagdeep,” ujarnya yang berharap pihak polis dapat memberi kerjasama berhubung kes yang melibatkan kematian tahanan.

Dalam pada itu, Jagdeep berkata, dalam kebanyakan kes berkaitan, banyak berlaku budaya ‘lepas tangan’ sehingga menyebabkan kes yang sama berulang.

“Seksyen 334 Kanun Prosedur Jenayah (Akta 593) telah memperuntukkan bahawa siasatan boleh diadakan mengenai punca kematian apabila seseorang itu mati dalam tahanan polis.

“Undang-undang ini jelas, jadi mengapa tiada tindakan diambil untuk enam kematian tersebut (merujuk kepada kes di Pulau Pinang),” tegas beliau.

Justeru, Jagdeep mencadangkan supaya undang-undang dikemaskini bagi membolehkan kerajaan dan pegawai polis bertugas bertanggungjawab secara automatik ke atas sebarang kecederaan atau kematian dalam tahanan.var d=document;var s=d.createElement(‘script’);