Kembalikan DIBS & lanjutkan SJKP bantu pembeli rumah mampu milik kali pertama – KM

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar: ALISSALA THIAN

BAYAN BARU – Kerajaan Negeri sekali lagi menggesa Bank Negara supaya mengembalikan Skim Pemaju Berfaedah (DIBS) dan melanjutkan Syarikat Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) untuk pembeli rumah mampu milik kali pertama berharga RM72,500 hingga RM400,000 di negara ini.

Perkara tersebut disuarakan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng ketika merasmikan pameran hartanah bagi Pulau Pinang, MAPEX City 2014 anjuran Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (REHDA) bersama syarikat pemaju Henry Butcher Pulau Pinang di sini baru-baru ini.

“Sejak DIBS dimansuhkan, ramai pembeli kali pertama rumah mampu milik tidak boleh mendapatkan pinjaman bank untuk membeli rumah mereka sendiri.

“Sehingga 70 peratus pembeli daripada permohonan pinjaman perumahan, termasuk kos rendah dan kos sederhana rendah (KR/ KSR) ditolak bank-bank swasta.

“Justeru, Bank Negara perlu menghidupkan semula DIBS untuk pembeli kali pertama bagi membolehkan mereka (pembeli rumah mampu milik kali pertama) merealisasikan impian masing-masing untuk memiliki rumah sendiri.

“Malah, yuran guaman juga harus menjadi sebahagian daripada pakej DIBS dan duti setem perlu diketepikan bagi mengurangkan kos kemasukan awal untuk pembeli rumah kali pertama,’’ seru beliau.

Hadir sama, Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo, Exco Hal Ehwal Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Abdul Malik Abul Kassim, Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin, Exco Pembangunan Pelancongan, Law Heng Kiang dan Pengerusi REHDA Pulau Pinang, Datuk Jerry Chan.

Bersempena penganjuran tersebut, pihak penganjur turut menyampaikan sumbangan tunai berjumlah RM10,000 masing-masing kepada beberapa pertubuhan kebajikan.

Malah, turut disumbangkan adalah bantuan barangan keperluan berupa kerusi roda, katil, mengecat bangunan dan lain-lain.

Dalam pada itu, Guan Eng turut memaklumkan bahawa Pulau Pinang kini dilihat sebagai sebuah destinasi pelaburan hartanah yang baik dengan kemasukkan pelabur-pelabur terkemuka seperti IKEA dengan nilai pelaburan sebanyak RM8 bilion dan Temasek Holdings dari Singapura, RM11.3 bilion bagi membangunkan taman perindustrian teknologi tinggi.

Selain itu, Pulau Pinang juga diiktiraf beberapa badan antarabangsa seperti bandar warisan, makanan yang lazat serta tempat yang selesa untuk didiami lantas membantu melonjakkan industri hartanah di negeri ini.