Kembalikan DIBS untuk nilai hartanah bawah RM400,000 – KM

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWN – Bagi meningkatkan kemampuan golongan berpendapatan rendah dan sederhana rendah membeli rumah serta memastikan harga stabil dengan mengekang aktiviti spekulasi yang keterlaluan, Kerajaan Negeri mencadangkan supaya Bank Negara mengembalikan semula skim Developer Interest Bearing Scheme (DIBS) bagi pembeli rumah kali pertama.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, Bank Negara perlu mengembalikan semula skim DIBS bagi pembeli rumah kali pertama hanya untuk hartanah yang bernilai di bawah RM400,000.

“Hal ini bukan sahaja dapat mengimbangi kesan negatif inflasi, tetapi juga dapat mengimbangi bayaran balik pinjaman yang lebih tinggi daripada kenaikkan kadar faedah sebanyak 0.25 peratus dari tiga peratus kepada 3.25 peratus,” katanya ketika berucap merasmikan Pameran Hartanah The Star 2014 dekat sini baru-baru ini.

Hadir sama, Pengarah Eksekutif Star Publications (M) Berhad, Tan Sri Datuk Seri Kamal Mohd. Hashim Menurut Guan Eng, pemaju
perumahan dilarang melaksanakan projek bercirikan DIBS bagi mengelakkan pemaju memasukkan tanggungan kadar faedah pinjaman pembeli semasa tempoh pembinaan dalam harga rumah.

“Secara tidak langsung, ia akan meningkatkan kos pembiayaan bagi urusniaga yang membawa kepada peningkatan harga lebih tinggi dan membuatkan ia lebih sukar bagi pembeli kali pertama untuk mendapat kelulusan pinjaman.

“Oleh demikian, DIBS boleh dilaksanakan untuk pembeli kali pertama dengan nilai hartanah di bawah RM400,000 dengan syarat pembeli tersebut mestilah daripada golongan berpendapatan rendah dan pemaju akan menanggung kadar faedah pinjaman pembeli tanpa memasukkan nilai tanggungan ke dalam harga rumah,’’ jelasnya.

Tambah beliau, Kerajaan Negeri menentang sebarang kenaikkan dalam kadar faedah yang akan membebankan peminjam tanpa apa-apa langkah pampasan bayaran balik pinjaman apatah lagi sewenang-wenangnya menaikkan harga rumah.

“Pengembalian semula DIBS bersyarat bagi nilai rumah di bawah RM400,000 akan memberi manfaat kepada pembeli kali pertama dan menggalakkan demokrasi perumahan,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Kamal memberitahu, lebih 30 syarikat dan pemaju perumahan terbabit dalam pameran diadakan buat kali ke-12 tahun ini.

“Pada pameran ini, pengunjung bukan sahaja disediakan dengan pelbagai projek pembangunan hartanah dan perumahan, sebaliknya juga berpeluang menghadiri seminar yang diadakan selama tiga hari di sini,” nyata beliau.

Pameran Hartanah The Star 2014 yang berlangsung selama tiga hari baru-baru ini menyediakan lebih 2,000 unit rumah pelbagai nilai ditawarkan kepada para pengunjung.