Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI
GEORGE TOWN – Pulau Pinang kini adalah bandaraya yang sedang berkembang pesat bukan sahaja dari segi pertumbuhan ekonomi, malah, turut mencakupi pelbagai bidang termasuk pembangunan sastera dan pembentukkan minda seni bertaraf antarabangsa.
Antara langkah yang diorak ke arah itu adalah penganjuran Sambutan Ulangtahun Kelahiran Sasterawan Negara, Profesor Emeritus Muhammad Salleh oleh Penang Institut (PI) di sini baru-baru ini.
Bersempena penganjuran tersebut, PI telah menganjurkan pelbagai acara termasuk pameran khas sasterawan, Forum Nusantara ‘Sireh Pulang ke Gagang’ dan Malam Kemuncak yang diadakan pada 9 April hingga 14 April lalu di Kompleks Tun Abdul Razak di sini.
Profesor Emeritus Muhammad Salleh dalam ucapan beliau berharap agar Pulau Pinang boleh kembali menjadi pusat perkembangan sastera Melayu sebagaimana era penulis-penulis terkemuka seperti Noordin Hassan, Shahnon Ahmad dan Syed Syeikh al-Hadi.
“Sukar untuk melatih para pelajar kini untuk menguasai ilmu sastera.
“Sastera memerlukan semangat. Tidak boleh dikesampingkan. Sastera menjadi medan untuk menuturkan suara hati,” ujar beliau yang cukup teruja dengan sambutan ulangtahun kelahiran beliau yang turut dihadiri oleh sasterawan Indonesia, Goenawan Mohamad di sini baru-baru ini.
Dalam pada itu, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng menyatakan bahawa Sambutan Ulangtahun Kelahiran Sasterawan Negera ini merupakan langkah awal Kerajaan Negeri menghidupkan semula kegiatan seni dan kebudayaan.
Menerusi penganjuran acara sebegini, ia dapat membuktikan hasrat dalam menjadikan Pulau Pinang sebagai bandar pilihan para penggiat seni dan kebudayaan dalam menghidupkan semula negeri ini sebagai pusat kegiatan persuratan seperti suatu ketika dahulu.
“Tahniah kepada Penang Institute (PI) kerana berjaya menganjurkan acara bertaraf antarabangsa ini.
“PI bukan sahaja diwujudkan sebagai sebuah badan pemikir dan pusat penyelidikan, malah, turut menganjurkan program-program ilmiah, pemikiran dan kebudayaan,” ujarnya sambil mengumumkan bahawa PI akan memperkenalkan Anugerah Sastera Pulau Pinang yang bertujuan untuk mengiktiraf dan menggalakkan kegiatan kesusasteraan di negeri ini dalam tempoh terdekat.