BALIK PULAU – ‘George Town Kita’ yang menjadi tema Hari Bandaraya George Town ke-55 baru ini telah disambut dalam suasana yang meriah serentak dengan sambutan ambang Tahun Baru 2012 bertempat di Padang Kota Lama baru-baru ini.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, Majlis Sambutan Hari Bandaraya George Town diraikan sempena ulangtahun taraf bandaraya yang telah dianugerahkan kepada Perbandaran George Town melalui ‘Royal Charter’ oleh Ratu Elizabeth II pada 1 Januari 1957 sebelum negara mencapai kemerdekaan lagi.
“Malangnya, status George Town atau bandaraya Pulau Pinang telah dilucutkan di bawah kerajaan lama. Tidak ada sebabnya mengapa George Town atau Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) tidak layak untuk bergelar bandaraya seperti 11 bandaraya lain di seluruh negara,’’ katanya di sini baru-baru ini.
Dalam ucapannya, beliau menyatakan bahawa pada tahun 2010, MPPP telah membuat permohonan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk menukar status MPPP kepada taraf bandaraya. Namun, tidak menerima sebarang maklum balas meskipun memenuhi syarat dan kriteria yang telah ditetapkan.
“Sekiranya jumlah penduduk dinaikkan kepada 500,000 orang dan pendapatan setahun kepada RM100 juta, George Town atau MPPP masih layak untuk diiktiraf sebagai status bandaraya.
“Diharapkan status bandaraya kepada MPPP boleh diperoleh tahun ini selaras dengan keunikan Pulau Pinang sehingga diiktiraf oleh UNESCO World Heritage City,” jelasnya.
Turut sama hadir meraikan hari bersejarah tersebut, Yang Dipertua MPPP, Ar.Patahiyah Ismail dan beberapa barisan Ahli Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang.