Kemenangan Trump corak iklim pelaburan Pulau Pinang, kata Kon Yeow

79162788 8274 472a 94ca 5ddea055b672

BAGAN DALAM – Kemenangan Donald Trump pada pilihan raya Presiden Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini yang dikatakan mempengaruhi corak pelaburan global termasuk negara Malaysia diakui turut akan meninggalkan kesan berantai kepada perubahan iklim ekonomi di negeri Pulau Pinang.

80f3c72c 5ff9 445d a38c 3b517bc417b5
KETUA Menteri

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Rumah Terbuka Deepavali Parti Tindakan Demokratik (DAP) Pulau Pinang 2024 di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Mak Mandin di sini pada 10 November 2024.

“Pemilihan Presiden Amerika Syarikat yang semestinya memberi impak kepada ekonomi Pulau Pinang kerana dasar-dasar Amerika Syarikat akan mempengaruhi suasana serta iklim pelaburan langsung dari Amerika Syarikat, dan apakah reaksi negara-negara besar ini juga akan menentukan iklim pelaburan di negeri ini,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.

Menurut Exco Kewangan, Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi itu lagi, pentadbirannya turut akan mengeratkan kerjasama dengan Kerajaan Pesekutuan hari ini demi memastikan Pulau Pinang paling banyak mendapat limpahan manfaat dalam bentuk projek infrastruktur seperti Projek Lebuhraya Bertingkat Juru – Sungai Dua dengan peruntukan awalan kira-kira RM80 juta.

b61a606a bbee 49fa b8eb c4b3f87ea385
LIM Guan Eng

Berucap sebelum itu, Pengerusi DAP Kebangsaan, Lim Guan Eng  mengajak seluruh kepimpinan parti supaya mengambil iktibar daripada kemenangan Trump dalam Pemilihan Presiden Amerika Syarikat baru-baru ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan memberitahu bahawa Trump dipilih sebagai Presiden kerana kempennya berkaitan isu rakyat bawahan secara lantang.

“Mengapa Donald Trump boleh menang…isu utama adalah ekonomi (yang mana) rakyat merasakan mereka tidak mendapat manfaat daripada pertumbuhan ekonomi di negara Amerika Syarikat.

“Sungguhpun kita tahu pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Amerika Syarikat amat memberangsangkan, kebanyakan penduduk dan rakyat merasa mereka ketinggalan.

“Ini, adalah suatu amaran kepada kita semua (Kerajaan Perpaduan Malaysia)… saya percaya Kerajaan Perpaduan terus prihatin serta tidak akan tambah lagi beban kewangan rakyat,” jelasnya yang juga mantan Ketua Menteri Pulau Pinang.

69a96d65 e0ff 42c0 b8a3 baf06200c9cf
STEVEN Sim Chee Keong

Sementara itu, Pengerusi DAP Negeri, Steven Sim Chee Keong yang juga Menteri Sumber Manusia terus menyeru sekalian akar umbi parti untuk terus mengukuhkan semangat muhibah di samping menjana sokongan rakyat di negeri Pulau Pinang.

“Parti politik ada warna biru dan hijau, tetapi sebagai manusia apabila luka, kita belum berjumpa darah yang selain warna merah.

“Kita (DAP) perlu perkukuhkan secara dalaman parti dan kuat secara luaran iaitu dengan terus menjadi pilihan rakyat,” tegasnya yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam.

Turut berucap, Timbalan Pengerusi DAP Negeri, Ramkarpal Singh yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor; dan K. Kumaran (ADUN Bagan Dalam merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjuran Majlis Rumah Terbuka Deepavali DAP Pulau Pinang 2024).

Hadir sama, dua wakil Parti Keadilan Rakyat (PKR), A. Kumaresan (ADUN Batu Uban) dan Dato’ Abdul Malik Abul Kasim (mantan Exco) serta Ketua Penerangan Umno Negeri Pulau Pinang, Datuk Mohd. Noor Ahmad.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : SIEW CHIA EN
Video SITI NURATIKAH RAHMAT