PANTAI JEREJAK – Amalan keterbukaan yang menjadi agenda Kerajaan baharu hari ini diharap dapat menghapuskan karenah birokrasi dan ketidakfahaman politik yang mungkin wujud, ujar Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow.
Kon Yeow berkata demikian pada Majlis Makan Malam Negeri Sempena Mesyuarat Pegawai Kanan Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia 2019 di sini malam ini.
Menurut Kon Yeow yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi, projek atau program yang dilaksanakan secara bersendirian oleh Kerajaan Negeri kini sudah boleh diusahakan bersama-sama.
“Sudah pastinya, amalan keterbukaan ini memberikan nilai tambah kepada Pulau Pinang.
“Penganjuran persidangan ini di Pulau Pinang selepas 16 tahun (tahun 2003) adalah amat bermakna untuk negeri ini, ia adalah sebagai jalinan silaturahim Kerajaan Negeri untuk bekerjasama bersama-sama JKR dengan lebih rapat lagi,” ujarnya sambil menyifatkan agensi pelaksana tersebut sebagai The Preferred Technical Agency bagi Kerajaan Negeri.
Hadir menyempurnakan majlis, Yang di-Pertua (TYT), Tun Dr. Abdul Rahman Abbas.
Hadir sama, Timbalan Menteri Kerja Raya, Mohd. Anuar Mohd Tahir; Datuk Dr. Syed Omar Sharifuddin Syed Ikhsan (Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya); Datuk Sri Ir. Dr. Roslan Md. Taha (Ketua Pengarah Kerja Raya Malaysia); Dato’ Seri Farizan Darus (Setiausaha Kerajaan Negeri) dan Ir. Shahabuddin Mohd. Muhayidin (Pengarah JKR Negeri Pulau Pinang).
Mesyuarat bertemakan JKR: Peneraju Infrastruktur Negara tersebut berlangsung selama tiga hari iaitu dari 9 hingga 11 Mac dengan dihadiri 413 Pegawai Kanan JKR Malaysia dan Pulau Pinang.
Mohd. Anuar ketika membacakan teks ucapan Menteri Kerja Raya menyatakan bahawa sudah menjadi tanggungjawab Kerajaan Persekutuan untuk membantu pembangunan di semua negeri termasuk Pulau Pinang.
Menurutnya, Kementerian Kerja Raya (KKR) melalui JKR telah dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan pelbagai projek pembangunan dan infrastruktur di negeri ini.
“Antara tujuh projek semasa yang sedang dilaksanakan ialah naik taraf laluan Persekutuan TTO01 dari persimpangan Permatang Keling, Fasa 5 yang bernilai RM109 juta; menaik taraf Jabatan Kecemasan dan Pesakit Luar Hospital Balik Pulau dan menyiapkan kerja terbengkalai Pangsapuri Kos Sederhana Rendah di Butterworth.
“Manakala, lima projek yang telah berjaya disiapkan ialah naik taraf Jalan negeri P10 dari Batu Maung ke Jalan Sultan Azlan Shah; naik taraf Bomba Kuala Muda; pembangunan Kolej Komuniti Tasek Gelugor; membina dan menyiapkan kerja terbengkalai unit kediaman Kos Sederhana Rendah Sungai Nibong serta membina Institut Kemahiran Mara, Seberang Perai Utara (SPU),” jelas Mohd. Anuar.
Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : ALISSALA THIAN